suria

Phil Robertson Kemudi Pasukan Ke Piala Monsun Disember Ini

KUALA TERENGGANU: Pasukan Team New Zealand dari Waka Racing menepati ramalan ramai apabila berjaya menempah tiket ke Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun yang akan diadakan Disember nanti.

Pasukan yang diketuai Phil Robertson itu menewaskan pasukan Michael Dunstan (SLAM Match Racing Team) yang mengekori rapat di belakangnya pada pertandingan akhir Kelayakan Asia Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong, petang semalam, dengan mata 30.

Pasukan Kan Yamada dari JFP pula menduduki tempat ketiga manakala pasukan Martin H Kaye (Team Hong Kong) di tempat keempat, dalam kejohanan yang disertai pasukan dari pelbagai Kelab Perahu Layar Asia itu.

Sesi Kelayakan Asia Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun berlangsung selama empat hari bermula Isnin lepas.

Kejohanan kali ini turut disertai dua pasukan tempatan; Taring Pelangi yang diketuai Hazwan Hazim yang sekadar mengumpul tiga mata, dan pasukan Malaysia Armed Forces 1 yang diketuai pelayar Mohammad Razali Mansor hanya mengumpul satu mata.

Pada sidang media selepas keputusan diumumkan, Robertson berkata selain cabaran keadaan cuaca yang panas terik, pasukannya turut menerima saingan hebat daripada pasukan SLAM Match Racing Team.

Bagaimanapun katanya permulaan yang baik dan kerjasama rakan sepasukan memberi kelebihan kepada pasukannya untuk melayakkan diri ke acara tahunan sukan layar antara yang berprestij di dunia itu.

Katanya beliau dan rakanrakannya akan melakukan persediaan yang perlu untuk berhadapan dengan pasukan lebih berpengalaman pada kejohanan Piala Monsun nanti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain