suria

KL'09: Skuad catur Malaysia sapu bersih pingat emas

KUALA LUMPUR: Skuad catur negara menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan pada hari terakhir Sukan Para Asean Kelima (KL'09) yang berlangsung di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara, di sini hari ini.

Keseluruhannya, Malaysia melepasi sasaran enam pingat emas pada KL'09 ini apabila meraih lapan daripada 20 pingat emas yang ditawarkan daripada acara catur.

Menepati ramalan 'ayam tambatan' skuad catur paralimpik negara Nur Feiqah Maulud Mohd Halil dan Choo Min Wang masingmasing menyumbang dua pingat emas bagi acara individu terbuka dan berpasukan terbuka wanita dan lelaki.

Pada pertandingan akhir hari ini, Nur Feiqah memenangi dua pingat emas bagi kategori individu wanita terbuka B1/B2/B3 dan berpasukan wanita terbuka B1/B2/B3 berganding dengan Athirah Azman dan Teo Suat Mui.

Min Wang pula menyumbangkan emas dalam acara individu lelaki terbuka B1/B2/B3 dan berpasukan lelaki terbuka B1/B2/B3 bersama Mah Hassan Omar dan Shahruddin Sidek.

Nur Feiqah yang menyumbang keseluruhan empat pingat emas bagi skuad catur negara berkata beliau gembira kerana berjaya mencapai sasaran bagi individu dan pasukan.

"Kejayaan yang diperolehi hari ini adalah merupakan kejayaan bersama dan tanpa bantuan daripada jurulatih ia sukar dicapai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau bertekad untuk mengulangi kejayaan yang sama jika berpeluang untuk menyertai Sukan Para Asean di Bandung, Indonesia pada 2011 nanti.

"Walaupun sibuk dengan pelajaran, saya akan tetap luangkan masa untuk mendalami ilmu catur," katanya.

Sementara itu pengurus pasukan catur negara, Abdul Latif Mohammad berkata beliau bersyukur kerana anak didiknya telah membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati pencapaian dan pungutan pingat," katanya.

Beliau berkata usaha mencari bakat baru bagi atlet lelaki perlu segera dibuat sebagai persiapan awal skuad catur paralimpik negara menghadapi Sukan Para Asean di Bandung kerana kebanyakan daripada atlet lelaki telah berumur. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain