TAMPIL mengarahkan filem genre animasi buat pertama kali, pengarah Syafiq Yusof menyifatkan Soloz: Game of Life adalah karya paling sukar pernah dihasilkan. Syafiq atau Mohd Syafiq Mohd Yusof, 33, bagaimanapun berpuas hati dengan hasil akhir filem berkenaan meskipun ia mencabar kredibilitinya sebagai pengarah dari segi fizikal dan mental. "Saya rasa ini filem paling sukar saya pernah buat, buat filem Sheriff pun lebih santai. Dari segi fizikal dan lebih-lebih lagi mental. Ini kali pertama saya buat filem animasi. "Tapi saya tetap mahukan animasi yang cantik, jadi kami bekerjasama dengan syarikat Moontoon dan saya berpuas hati dengan hasil filem ini," katanya kepada mStar. Syafiq ketika di set penggambaran Soloz: Game Of Life. Dalam pada itu, Syafiq memberitahu dia banyak melakukan eksperimentasi bagi mendapatkan 'shot' menarik bagi filem tersebut. Kata Syafiq, perkara itu penting dalam menarik perhatian penonton disamping menyuntik elemen animasi yang cantik. "Kita menggunakan teknik-teknik kamera menarik sebab gamers ini mereka main tak bergerak daripada tempat duduk. Jadi kamera harus bergerak untuk memperlihatkan babak dirakamkan itu menarik. ARTIKEL BERKAITAN: Syafiq Yusof teliti hasilkan ‘Soloz: Game of Life’, papar realiti kehidupan ‘gamers’ ARTIKEL BERKAITAN: Lama bercinta, jarang berjumpa... Soloz dah tak solo, tamat zaman bujang dengan gadis pilihan – “Kenal sebelum join Mobile Legends” "Tambahan pula dengan suntikan animasi dalam filem ini memberikan satu keterujaan baharu buat penonton," jelasnya. Mengulas lanjut mengenai Soloz: Game Of Life, Syafiq berkata dia tidak meletakkan apa-apa sasaran kutipan bagi filem berkenaan. Sebaliknya Syafiq hanya mahu penonton seronok menonton dan memahami mesej ingin disampaikan melalui filem tersebut. Hun melakonkan watak sebagai Soloz. "Saya tak letakkan sasaran kutipan kerana sejujurnya saya hanya mahu penonton faham mesej yang saya nak sampaikan. "Lebih-lebih lagi selepas saya, pelakon dan krew produksi sudah bekerja keras untuk hasilkan naskhah animasi sebegini. "Saya percaya kepada mesej kebaikan yang Soloz sebenar mahu sampaikan melalui filem ini," ujarnya. Filem Soloz: Game Of Life mengisahkan kisah benar perjalanan hidup seorang ikon E-sukan tanah air iaitu Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz. Nama Soloz tidak asing dalam arena e-sukan. Soloz merupakan seorang pemuda biasa dari Seremban, Negeri Sembilan yang mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya mengukir nama sebagai pemain E-sukan profesional dalam dunia permainan mudah alih Mobile Legends: Bang Bang. Karya ini juga menggambarkan perjalanan dan kesungguhan Soloz dimana dia adalah antara pemain profesional terawal Mobile Legends: Bang Bang dari Malaysia. Populariti Soloz mula melonjak naik bukan hanya kerana bakatnya, tetapi juga kerana menjadi pelopor dalam permainan ini sejak dilancarkan oleh Moonton pada September 2016. Kisah Soloz diangkat menjadi sebuah filem. Kejayaannya memuncak ketika dia mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Filipina 2019 dan berjaya merangkul pingat gangsa. Penghargaan terhadap sumbangannya dalam E-sukan di negara ini diserlahkan lagi apabila Soloz dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-74, Januari 2022. Naskhah animasi arahan Syafiq ini dibintangi barisan pelakon seperti Hun Haqeem, Ikmal Amry, Noki K-Clique, Imran Aqil, Syafie Naswip, Hafeez Mikail dan ramai lagi. Soloz: Game Of Life bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 23 Januari ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!