suria

Anne Ngasri minta tunjuk ajar Darling terbit filem pertama, jaga sensitiviti elak babak dipotong dalam ‘Jemputan Ke Neraka’

Darling (kiri) dan Anne bekerjasama menghasilkan Jemputan Ke Neraka.

PENGALAMAN luas kakak sendiri iaitu Darling dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelakon Datin Anne Ngasri dalam menerbitkan filem sulungnya berjudul Jemputan Ke Neraka.

Kata Anne atau Naszriah Ngasri, 39, Darling juga merupakan mentor terbaik dalam memberikan tunjuk ajar selain wanita itu cukup memahami kehendaknya.

"Jika tanpa Darling rasanya sukar juga untuk saya menerbitkan filem kerana jadual kerja yang agak padat. Darling sememangnya seorang mentor saya dalam bidang penerbitan sebab itu dia menjadi penerbit penyelaras.

anne ngasri 2

Anne yakin filem seram mudah mendapat sambutan.

"Bukanlah tidak yakin dengan orang lain, tetapi kerana ini filem sulung produksi saya, jadi kalau boleh saya mahu semuanya mengikut kehendak dan piawaian yang ditetapkan. Darling sudah berpengalaman dan juga kakak saya, jadi dia tahu apa yang saya inginkan.

"Memang saya mengaku sebagai penerbit baru saya mendapat banyak bimbingan dan tunjuk ajar daripada Darling sebab dia lebih berpengalaman dalam bidang penerbitan," katanya.

Filem bergenre seram ini mendapat sentuhan Amor Rizan sebagai pengarah dan bakal ditayangkan bermula 22 Jun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tribute buat Mamat Khalid, Awie harap dapat terbit lebih banyak filem selepas ‘Sue-On’

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Polis Evo 3’ raih kutipan RM30 juta dalam tempoh 10 hari tayangan

Sementara itu Darling atau Nasreen Ngasri, 40, memberitahu dia amat yakin dengan hasil kerja pengarah itu yang sebelum ini pernah menghasilkan drama serta filem berkualiti.

Dalam masa sama, dia juga berdebar menanti sambutan penonton meskipun yakin genre sebegini mudah diterima peminat filem.

Darling sudah berpengalaman dan juga kakak saya, jadi dia tahu apa yang saya inginkan.

ANNE NGASRI

PELAKON/PENERBIT

"Saya suka penulisan dan kerja Amor Rizan serta yakin dengan kualiti kerjanya. Sebenarnya ini juga filem pertama Amor, jadi bukan kami sebagai penerbit sahaja yang berdebar tetapi Amor juga," ujarnya.

Bercakap tentang tajuk filem ini yang mungkin dianggap keterlaluan atau sensitif, kata Darling ia telah mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Malah dia juga meluahkan rasa syukur kerana tiada sebarang pemotongan dilakukan kerana sejak awal pengambaran dia sendiri amat menitik beratkan semua isu sensitif.

anne ngasri 3

Antara pelakon utama Jemputan Ke Neraka.

"Tidak ada babak yang dipotong sepanjang proses penapisan kerana kami memang berjaga-jaga agar filem ini sesuai dengan penonton Malaysia. Sayanglah jika filem ini tidak dapat ditonton secara meluas," jelasnya.

Filem terbitan AN Universal Sdn Bhd ini dibintangi oleh Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Jasper Supayah, Wafariena Roslan, Alif Hadi dan Aleza Shadan.

Ia memaparkan kisah sekumpulan bekas rakan sekolah menerima jemputan ke perkahwinan misteri di sebuah sebuah banglo mewah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain