suria

Wanna Ali jumpa 'chemistry' dengan PU Riz dalam 'Ada Apa Dengan Dosa' - “Dia berilmu, ada latar belakang agama!”

Wanna Ali selesa berkawan dengan PU Riz dan mengakui mudah mendapatkan keserasian dengan pendakwah muda itu.

PERTAMA kali memegang watak utama dalam filem Ada Apa Dengan Dosa, pelakon Wanna Ali mendedahkan dia penah hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan lakonan kerana terlalu tertekan.

Wanna, 23, bagaimanapun berkata semangatnya kembali pulih setelah menerima sokongan dan kata-kata semangat daripada dua pelakon iaitu Pencetus Ummah (PU) Riz dan Ashraf Muslim.

"Ini filem pertama saya bawa watak heroin dan perlu bermain dengan pelbagai emosi sampaikan ada satu masa itu saya jadi sangat down dan rasa macam tak boleh nak teruskan lakonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Panggung wayang masih ditutup, filem 'Ada Apa Dengan Dosa' beralih tayangan di Astro First

"Tapi mujurlah saya dapat semula semangat itu apabila PU Riz dan Ashraf Muslim datang beri kata-kata sokongan dan minta saya tidak putus asa untuk teruskan penggambaran.

"Sampai sekarang saya masih ingat lagi pesanan dan nasihat yang diberikan oleh mereka... susah nak jumpa pelakon yang mempunyai sikap sentiasa menyokong seperti itu," katanya kepada mStar.

Ashraf Muslim dan PU Riz beri semangat kepada Wanna untuk terus bangkit.

Selain Wanna Ali, PU Riz dan Ashraf Muslim, filem ini turut dibintangi oleh Fasha Sandha, Fauziah Nawi dan Adam Corrie.

Sementara itu, Wanna memberitahu dia selesa bergandingan bersama PU Riz dalam naskah terbaharu ini dan mengakui menemui keserasian dengan pendakwah muda berkenaan.

Hubungan rapat kami itu seperti saudara sahaja dan tak ada istilah cinta-cinta! Ibu bapa kami pun berkawan sejak dahulu

WANNA ALI

PELAKON

"PU Riz sangat membantu. Kami pun dah rapat macam saudara sendiri. Malah, sebelum ini pun kami dah berkawan, jadi tak susah nak cari chemistry itu.

"Tambahan pula ini filem dakwah, PU Riz memang ada latar belakang agama, dia sangat berilmu dan membuatkan proses penggambaran berjalan sangat baik!.

"Hubungan rapat kami itu seperti saudara sahaja dan tak ada istilah cinta-cinta! Ibu bapa kami pun berkawan sejak dahulu," katanya.

Wanna bersama ibunya yang juga Penerbit Pencil Pictures and Records, Datuk Ayu Puteh.

Ditanya mengenai cabaran melakonkan watak Aurora dalam filem berkenaan, Wanna berkata agak sukar untuk dia melakonkan babak sedih sehingga perlu menitiskan air mata.

"Salah satu babak yang paling mencabar apabila Aurora bertemu ibu bapa kandungnya dan memerlukan saya bermain dengan emosi.

"Sejujurnya saya ini bukanlah pelakon air mata, jadi saya perlu terjemahkan kesedihan itu sehinggalah perasaan itu benar-benar dirasai oleh pengarah.

"Pengarah Rahila Ali pula sangat teliti mengenai lakonan dan dia akan suruh buat setiap babak berulang kali sehinggalah semuanya berpuas hati," ujarnya.

Ada Apa Dengan Dosa yang dijadualkan tarikh tayangan pada 24 September di pawagam terpaksa ditayangkan di saluran Astro First pada Khamis ini berikutan keadaan negara yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Filem ini mengisahkan Aurora yang kembali mencari sinar Islam dan keluarga kandung selepas ditinggalkan di rumah anak yatim sejak lahir.

Wanna Ali, PU Riz, Ashraf Muslim

Artikel Lain