suria

Inspirasi kisah seram legenda, Town Mall bawa karya novel jadi filem

Antara babak yang bakal mengejutkan penonton.

MENGAMBIL inspirasi daripada kisah-kisah misteri popular dan legenda di Malaysia, filem Town Mall yang bakal ditayangkan bermula Khamis ini pasti menjadi naskhah paling ditunggu peminat cerita seram.

Town Mall yang bakal ditayangkan menerusi Astro First ini merupakan adaptasi daripada novel genre seram terlaris di Malaysia karya Hasrudi Jawawi.

Salah satunya kisah sebuah projek pembinaan yang terbengkalai selama 10 tahun akibat gangguan misteri dan kini pembinaan itu disambung semula untuk menjadikan bangunan itu sebuah kompleks membeli-belah.

Penerbit Zainuddin Zainuddin Mohd Ismail meluahkan rasa teruja untuk melihat reaksi penonton terhadap filem berkenaan.

"Saya selaku penerbit, barisan kru dan pelakon yang terlibat memang tidak sabar untuk menunggu reaksi penonton selepas menonton filem tersebut kelak.

"Sokongan pihak Astro Shaw yang membuka ruang buat penerbit untuk menayangkan filem dalam tempoh sekarang ini, memberikan saya lebih keyakinan dan percaya potensi filem ini untuk mendapat sambutan positif.



Eizlan selaku pengarah turut membintangi filem tersebut.

"Saya berharap kehadiran filem ini mampu mencipta penanda aras baru dalam adaptasi filem daripada novel seram, kerana sebelum ini amat jarang kita lihat naskhah novel seram diangkat ke layar perak," katanya.

Filem yang menjalani penggambaran selama 25 hari itu dibintangi oleh Datuk Seri Eizlan Yusof, Reen Rahim, Intan Ladyana, Nynaa Harizal, Adam Shahz, Datuk Jalaluddin Hassan, Erry Putra, Hafizuddin Fadzil, Nor Albaniah, Ku Faridah dan Faradhiya.

Lebih mengujakan, ini merupakan filem pertama Eizlan Yusof yang turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem.

Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata pihaknya berharap akan dapat terus membantu penerbit membawa karya mereka terus ke rumah penonton.



Intan Ladyana antara salah seorang barisan pelakon filem Town Mall.

"Kami di Astro Shaw akan terus membantu penerbit membawa karya mereka ke rumah untuk ditonton buat pertama kalinya menerusi saluran Astro First.

"Jika sebelum ini kami telah bawakan genre berbeza seperti komedi drama, komedi seram, drama islamik dan terbaru istimewa pada kali ini adalah genre filem seram.

"Kami berharap, selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara, usaha ini sedikit sebanyak turut dapat membantu industri perfileman tempatan untuk terus bernafas dan kembali bergerak aktif selaras dengan normal baharu," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain