suria

Permulaan Cemerlang Untuk ‘Doctor Strange’

Doctor Strange bermula dengan baik untuk menjadi francais filem terlaris pada masa hadapan selain pemilihan tepat Benedict Cumberbatch membawakan watak adiwira.
FILEM: Doctor Strange

PENGARAH:
Scott Derrickson

PELAKON:
Benedict Cumberbatch, Chiwetel Ejiofor, Tilda Swinton, Rachel McAdams, Mads Mikkelsen dan Benedict Wong

GENRE:
Aksi/Fantasi

DURASI:
115 minit

PENGEDAR:
Walt Disney Pictures

TARIKH TAYANGAN:
27 Oktober 2016

SECARA jujurnya, penulis kurang mengetahui tentang watak adiwira (superhero) ciptaan Steve Ditko bernama Doctor Strange dan tanpa berselindung, penulis mengakui baru sahaja membuat pembacaan tentang kewujudan Doctor Strange selepas mendapat perkhabaran tentang pembikinan filemnya.

Mahu atau tidak, harus diakui kewujudan Doctor Strange tidaklah sepopular seperti mana watak komik Marvel yang lain tetapi jika diteliti tentang bagaimana Doctor Strange atau nama sebenarnya, Stephen Vincent Strange, ia adalah sesuatu yang cukup menarik.

Apatah lagi dengan caranya memiliki kuasa dan magis sehingga mampu menampilkan Doctor Strange sebagai seorang adiwira yang bukan calang-calang menjadikan watak berkenaan harus diberi perhatian menerusi filem pertamanya yang sudah pun ditayangkan sejak 27 Oktober lalu.

Apabila Doctor Strange diadaptasi ke layar perak dan memiliki filemnya sendiri, apakah ia akan menjadi sebuah filem superhero seperti mana yang sudah berlambak dihasilkan sebelum ini?

Bagi penulis, perasaan skeptikal itu tetap ada kerana untuk memperkenalkan watak adiwira yang tidak mendapat publisiti sepenuhnya, memang ada sisi lain yang perlu difikirkan.

Akan tetapi, mengenali Marvel Studios, mereka jarang mengecewakan peminat filem dengan hasil sentuhan mereka.

Biarpun mendapat kritikan pedas sebelum filemnya membuka tirai, ada sebab mengapa bekas pemenang Oscar, Tilda Swinton dipilih membawakan watak The Ancient One.

Sebagai contoh, dua filem The Avengers, Ant-Man, Captain America: Civil War dan Iron Man antara yang mendapat kritikan positif dan mencatatkan kutipan pecah panggung luar biasa di seluruh dunia.

Lalu, penulis buang segala prasangka dan menonton Doctor Strange dengan penuh terbuka.

Demi untuk mendapat kepuasan, penulis menonton dalam versi IMAX 3D yang sememangnya tidak pernah gagal memberikan kepuasan dalam pengalaman penonton buat penulis.

Ini justifikasi penulis tentang Doctor Strange hasil sentuhan sutradara Scott Derrickson (Deliver Us From Evil, 2014), sama seperti penulis menonton Ant-Man tahun lalu, Doctor Strange berada di peringkat setara dengan filem-filem terbaik terbitan Marvel Studios yang lain.

Penulis harus memberikan merit kepada Derrickson dan C. Robert Cargill yang berjaya menghasilkan lakon layar yang cemerlang dalam memperkenalkan watak Doctor Strange kepada khalayak.

Seperti mana yang selalu diperkatakan, 10 minit pertama dalam menonton filem, jika ia gagal menarik perhatian audiens untuk tempoh itu, maka, ia bukanlah sebuah filem yang bagus.

Tetapi, untuk Doctor Strange, perjalanan filemnya bergerak lancar dan pantas sehingga penonton tidak sedar sudah hampir dua jam berlalu.

Watak antagonis bernama Kaecilius dijayakan oleh Mads Mikkelsen.
Selaku penulis lakon layar dan pengarah, Derrickson tahu bagaimana untuk mengekalkan pace dan momentum Doctor Strange agar tidak membuatkan penonton resah dan gelisah sambil melihat jam tangan sebagai tanda menunggu filem ditamatkan.

Penceritaannya mudah difahami dan Derrickson juga tidak perlu membuang masa untuk memperkenalkan watak Doctor Strange kepada audiens terutama bagi mereka yang tidak tahu latar belakang watak seorang pakar bedah ternama itu.

Semua itu divisualkan ke skrin dengan penghasilan yang spektakular dan seolah-olah membawa audiens memasuki dunia Doctor Strange.

Penullis berani mengatakan efek visual untuk filem ini adalah antara yang terbaik dan menepati dalam konteks penceritaan Doctor Strange itu sendiri.

Bukan itu sahaja, kecemerlangan itu juga ditambah dengan hasil suntingan terbaik oleh Wyatt Smith dan Sabrina Plisco selain unsur dramatik filem ini diperkuatkan lagi dengan skor muzik oleh bekas pemenang Oscar, Michael Giacchino.

Tetapi, Doctor Strange tidak akan ‘bernyawa’ sendainya pelakon yang membawakan watak protagonis itu tidak mampu menghidupkannya.

Dalam soal ini, Marvel Studios telah membuat pilihan tepat dengan memilih bekas calon Oscar, Benedict Cumberbatch sebagai Doctor Strange.

Bekas calon Oscar, Chiwetel Ejiofor membawakan watak Karl Mordo yang merupakan anak didik kepada The Ancient One di samping Doctor Strange.

Seperti mana yang diketahui, Cumberbatch merupakan seorang aktor yang memiliki karisma tersendiri dan sebelum ini, dia cukup dikenali dengan watak berkarakter yang berat.

Tetapi untuk Doctor Strange, Cumberbatch berjaya mengimbangi watak berkenaan untuk menjadi lebih dekat kepada audiens dan disukai ramai.

Watak-watak lain juga berjaya diimbangi dengan baik dan memiliki kepentingan masing-masing dalam membawakan watak dalam filem ini.

Dalam erti kata lain, mereka tidak dilihat sebagai pelengkap dan ada momen tersendiri dalam menghidupkan jalan cerita.

Dalam perkembangan lain, belum pun Doctor Strange membuka tirainya di Amerika Syarikat (Malaysia mendapat tayangan seminggu lebih awal), dikhabarkan filem sekuel Doctor Strange sudah pun mula dirangka dengan menjadikan The Dark Knight (2008) sebagai rujukan.

Tetapi sebelum itu, Doctor Strange akan membuat kemunculan dalam filem sekuel ketiga Avengers, Avengers: Infinity War pada tahun 2018.

Untuk mereka yang belum menonton Doctor Strange, pastikan anda terus duduk di kerusi selepas filem tamat kerana ada sesuatu menanti anda untuk memberi gambaran tentang projek Marvel Studios selepas ini.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Doctor Strange

Artikel Lain