suria

[V] Tiada persefahaman punca Adira fail cerai, Datuk Red mahu selamatkan rumah tangga

SUDAH tiada persefahaman punca penyanyi Adira Suhaimi memfailkan cerai buat kali kedua terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober lalu.

Peguam syarie Muhammad Akmal Amzan yang mewakili Adnan bagaimanapun memberitahu anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan dibuat isteri keduanya itu dan ingin menyelamatkan rumah tangga mereka.

"Punca penceraian tidak boleh nak beri lebih mendalam cuma saya boleh katakan tiada persefahaman di antara mereka.

"Pada sebutan pertama pada 14 November lalu, Adnan memberitahu mahkamah dia tidak bersetuju terhadap permohonan cerai dibuat Adira," katanya kepada mStar.

peguam datuk red 1

Peguam Datuk Red, Muhammad Akmal Amzan.

Muhammad Akmal mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui selepas sebutan kedua kes berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor pada pagi Isnin.

Pada perbicaraan itu, pasangan berkenaan hadir bagi melantik wakil proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan sebelum ini.

Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, melantik kakaknya iaitu Emma Suhaimi sebagai wakil pihaknya manakala Adnan gagal membawa sebarang calon bagi proses JKP.

ARTIKEL BERKAITAN: Adira fail cerai kali kedua terhadap suami, hakim tegur Datuk Red cuba lambatkan kes

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Red hadir sokong Adira di Famili Duo 3 undang perhatian, lenyapkan spekulasi rumah tangga berantakan

Dalam pada itu, Muhammad Akmal memberitahu punca Adnan selaku defendan kes berkenaan gagal membawa wakil disebabkan calon berkenaan mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

“Wakil sudah ada cuma kami baru dimaklumkan pagi tadi dia tidak dapat hadir sebab ada urusan yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya.

Susulan itu, Hakim Syarie Abdul Hadi Omar menangguhkan sebutan kes tersebut pada 18 Disember ini.

Adnan memberitahu mahkamah dia tidak bersetuju terhadap permohonan cerai dibuat Adira.

MUHAMMAD AKMAL AMZAN

PEGUAM DATUK RED

Sementara itu, usaha mStar mendapatkan kenyataan daripada Adnan atau Datuk Red berhubung kes berkenaan tidak berhasil apabila dia enggan memberikan sebarang komen.

Adira juga enggan mengulas lanjut namun memberitahu akan memberikan kenyataan apabila sudah bersedia.

Untuk rekod, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.

Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira 3

Adira dan Datuk Red tidak lagi bersefahaman antara satu sama lain.

Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Kemunculan Adira di mahkamah mengejutkan memandangkan penyanyi itu baru sahaja selesai membuat persembahan di peringkat akhir Famili Duo 3 (FD3) bersama Emma pada malam Ahad.

Pada pertandingan itu, Adira dilihat memberikan persembahan bertenaga tanpa memperlihatkan dia sedang berdepan dengan sebarang masalah berkaitan perkahwinannya dengan Adnan.

Adira 2

Adira dan Emma semasa persembahan akhir Famili Duo 3 (FD3).

Malah pada minggu ketiga pertandingan itu, Adnan turut hadir memberi sokongan kepada Adira dan anak perempuan mereka Anggrek yang muncul dalam persembahan ibunya.

Kehadiran Adnan itu juga turut melenyapkan spekulasi rumah tangga pasangan tersebut dikatakan sedang bergolak.

Penyanyi itu menerusi temu bual bersama mStar juga menyifatkan gosip berhubung rumah tangganya adalah lumrah sebagai seorang selebriti.

adira 2

Adira nekad untuk bercerai dengan Datuk Red.

Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.

Manakala perkahwinan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain