SELEPAS enam bulan digantung tak bertali, akhirnya kemelut rumah tangga anak kepada bekas jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan iaitu Mohd Zaiza dan isterinya Suzur Sofia selesai apabila mereka bercerai talak satu. Sofia atau Suzur Sofia Smeth Jaya, 32, meluahkan rasa lega kerana masalah yang berlaku antara mereka sebelum ini dapat diselesaikan secara baik melalui proses mahkamah. "Sudah enam bulan berlarutan kes cerai ini dan akhirnya lega ia sudah selesai. Bagi saya hal ini mudah sahaja sebab masalah antara kami sudah lama berlaku, jadi apabila setuju hendak cerai semua dapat diselesaikan. Sofia bersama peguam hadir ke mahkamah bagi proses lafaz cerai. "Dalam perbicaraan sebelum ini pun hakim sudah maklumkan berlaku shiqah (perbalahan berpanjangan) antara kami berdua," katanya ketika dihubungi mStar. Terdahulu, Sofia dan Zaiza hadir di Mahkamah Rendah Syariah, Klang pada pada pagi Rabu bagi proses lafaz cerai. Meskipun bersyukur kemelut ini sudah berakhir, namun Sofia mengakui masih kecewa kerana hal berkaitan hak penjagaan dua orang cahaya mata mereka masih belum dapat diselesaikan secara baik. ARTIKEL BERKAITAN: Anak sulung Zainal Abidin Hassan enggan cerai isteri, letak empat syarat ARTIKEL BERKAITAN: “Mana bukti? Kerja ini bagi anak makan”... Menantu Zainal Abidin bengang suami tuduh curang kerana kerjaya pramugari Malah Sofia yang merupakan seorang sebagai pramugari memberitahu berlaku sedikit pertengkaran di luar mahkamah pada pagi berkenaan ketika mereka berbincang berkaitan hal terbabit. "Saya tiada masalah untuk kami sama-sama mendapatkan hak penjagaan anak. Kalau saya cuti anak boleh bersama saya. Tetapi dia tidak boleh memberi kerjasama baik. "Saya pun tak mahu pisahkan anak-anak dengan bapa mereka. Kami juga ada anak perempuan dan dia perlukan seorang wali jika ingin berkahwin nanti. Kalau ada masalah boleh beritahu saya. Tidak perlu tunggu sampai pihak sekolah hubungi maklumkan yuran tertunggak SUZUR SOFIA "Cuma dua perkara yang saya minta, jalankan tanggungjawab terhadap nafkah anak dan beri maklum balas segera sekiranya ada sebarang masalah," ujarnya. Sementara itu Sofia juga mendakwa Zaiza gagal menjalankan tanggungjawab terhadap anak apabila tidak membayar yuran bulanan persekolahan anak pertama mereka selama enam bulan. Tambah Sofia dia sedia membantu dalam urusan bayaran cuma memohon agar bekas suaminya itu memberi kerjasama dalam komunikasi antara mereka berdua. Sofia dipanggil pihak sekolah anaknya kerana terdapat bayaran tunggakan yuran. "Kalau ada masalah boleh beritahu saya. Tidak perlu tunggu sampai pihak sekolah hubungi maklumkan yuran tertunggak. "Saya bercakap kepada media bukan untuk mencari populariti tetapi inilah caranya untuk sampaikan kepada dia (Zaiza) sebab sebelum ini dia lambat dalam memberi maklum balas tentang anak," jelasnya. Untuk rekod Sofia dan Zaiza mendirikan rumah tangga pada 15 Januari 2016 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Zaynedine Sulaiman, 6, dan Seri Zayana yang berusia dua tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!