suria

[V] Syamsul setuju tunai nafkah anak RM6,000 sebulan, bayaran edah RM15,000 kepada Puteri Sarah

PENGARAH filem Syamsul Yusof berjanji tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap dua orang anaknya iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah, meskipun ikatan perkahwinan dia dengan Puteri Sarah sudah berakhir.

Syamsul atau Syamsul Mohd Yusof, 39, berkata dia akan menyediakan keperluan sewajarnya untuk dua anaknya itu seperti yang dipersetujui sebelum lafaz cerai itu dilakukan pada pagi Rabu.

"Syukur penceraian berjalan lancar sesuai dengan apa yang kami bincang sebelum ini demi untuk kebaikan dan masa depan anak-anak.

nafkah1 - 1

Syamsul tidak akan melepaskan tanggungjawab terhadap anak-anak.

"Segala keperluan dan perbelanjaan anak-anak akan ditanggung oleh saya. Semuanya okay dan baik-baik sahaja," katanya kepada pemberita.

Syamsul ditemui selepas prosiding lafaz cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Pengarah itu melafazkan cerai talak satu terhadap Puteri Sarah di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas. Sesi itu berlangsung secara tertutup kira-kira pukul 12.25 tengah hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul, Puteri Sarah cerai talak satu

ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul beri bayangan kemelut rumah tangga bakal berakhir baik, tiada lagi kejutan

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam prosiding berkenaan, Syamsul bersetuju memberikan nafkah anak sebanyak RM6,000 sebulan berkuat kuasa bermula Julai ini.

Amaun tersebut perlu dimasukkan sebelum atau pada 3 hari bulan.

Segala keperluan dan perbelanjaan anak-anak akan ditanggung oleh saya. Semuanya okay dan baik-baik sahaja.

SYAMSUL YUSOF

PENGARAH

Bagi perbelanjaan insurans, percutian dan elaun perayaan pula akan dibayar secara tahunan.

Manakala nafkah edah bagi Sarah adalah sebanyak RM15,000 untuk tiga bulan dan pembayaran itu perlu dilakukan secara sekali gus.

Sementara itu, Sarah ketika ditemui turut memanjatkan rasa syukur kerana konflik rumah tangga mereka itu akhirnya berakhir dengan baik.

"Alhamdulillah semua sudah selesai. Semalam (Selasa) kami dah berjumpa untuk selesaikan semuanya.

"Biar saya seorang sahaja yang tahu apa saya rasa," jawabnya ringkas.

Manakala Syamsul pula menganggap perpisahan ini sebagai satu ujian hidup dan memilih untuk berpisah tanpa rasa dendam.

"Saya anggap ini sebagai ujian kehidupan. Kami pun bukan muda lagi. Mungkin ini ujian di usia begini. Kami perlu kuat.

"Alhamdulillah, mendapat pengakhiran yang baik. Sarah boleh meneruskan kehidupannya dengan baik, begitu juga dengan saya.

"Kami masing-masing saling mendoakan. Walaupun kami berpisah tetapi tidak ada perasaan dendam. Sekali lagi, semuanya kerana anak-anak," katanya.

nafkah2 - 1

Puteri Sarah capai kata sepakat demi anak-anak.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah, 38, bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5 tahun.

Kemelut rumah tangga mereka berlarutan selepas Syamsul enggan melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah pada 18 April lalu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat kejutan mengumumkan dia sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain