suria

[VIDEO] Berani komen nyanyian sumbang Ifa Raziah, guru vokal tampil beri penjelasan… “Saya sedar masih baharu tapi tanggungjawab mendidik”

Guru vokal ini memberi komen terhadap persembahan Ifa Raziah

PERSEMBAHAN Ifa Raziah dalam program realiti nyanyian Terpaling Juara (TV3) bukan sahaja menerima kritikan netizen dan penonton, malah turut menarik perhatian guru vokal iaitu Shaffiq Erwin.

Shaffiq, 31, menerusi laman YouTube memberi komen dan penilaian nyanyian Ifa pada minggu kedua semasa mempersembahkan lagu Di Pintu Syurga dendangan asal Dayang Nurfaizah.

Kata Shaffiq, tujuannya memuat naik video reaksi itu bukanlah untuk memperlekehkan nyanyian Ifa, sebaliknya bertujuan mendidik orang ramai cara nyanyian yang betul.

cikgu

Shaffiq Erwin merupakan guru vokal kepada penyanyi terkenal termasuklah Naim Daniel dan Wany Hasrita

"Sejujurnya, mula-mula saya tidak mahu memberi komen nyanyian Ifa Raziah kerana sudah mengenali perwatakannya macam mana. Walaupun mungkin memberikan komen yang baik, saya bimbang sekiranya ada pihak yang memutar belitkan komen saya.

"Namun, saya memikirkan kembali tujuan utama adalah untuk mendidik orang ramai. Jadi, saya memilih peserta yang membuat kesalahan nyanyian supaya boleh diberi teguran.

"Sekiranya penyanyi tersebut ingin mengambil perhatian setiap teguran yang dibuat, terpulang kepada mereka. Itu sahaja tujuan saya," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian sumbang minggu ketiga ‘Terpaling Juara’, Ifa Raziah salahkan pakaian ganggu persembahan

ARTIKEL BERKAITAN: Dikecam jahil agama, Ifa Raziah memang sengaja ‘menunjuk’ buat live ketika solat

Baru-baru ini, menerusi Instagram Shaffiq memuat naik video teaser komen reaksinya terhadap persembahan Ifa Raziah yang dikatakan sumbang dan terganggu kerana tangisan di atas pentas.

Komen Shaffiq itu menimbulkan rasa kurang senang Ifa yang kemudiannya tampil membidas kenyataan guru vokal itu.

Bengang nyanyian dikritik, Ifa mempersoalkan kredibiliti Shaffiq dan memberitahu perubahan suara itu merupakan perkara biasa terutamanya untuk penyanyi yang semakin meningkat usia.

cikgu1

Shaffiq tidak menyangka isu ini menjadi besar dan mendapat perhatian ramai

Sementara itu, Shaffiq berasakan Ifa berkemungkinan tidak menonton keseluruhan video reaksi itu yang mana dia turut memuji nyanyian pelantun lagu Ser Ser Ser itu.

"Ifa mungkin hanya menonton video teaser yang dikongsi di Instagram tanpa menonton video penuh di YouTube. Untuk video teaser, sudah tentu saya akan memberi penekanan pada bahagian yang salah. Jika korang menonton video penuh, saya ada memuji nyanyiannya juga.

"Saya juga tidak mengambil hati terhadap komen yang ditinggalkan oleh Ifa Raziah di Instagram. Saya sedar saya masih baharu dalam industri tetapi sebagai seorang guru vokal, saya tetap akan menjalankan tanggungjawab untuk mendidik orang ramai," ujarnya.

Untuk rekod, Shaffiq merupakan guru vokal kepada penyanyi terkenal termasuklah Naim Daniel, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Sissy Imann.

Sebelum ini, dia juga sering memberikan komen dalam program nyanyian lain seperti Gegar Vaganza, Big Stage dan Anugerah Juara Lagu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain