suria

[VIDEO] Amelia Henderson nafi langgar kontrak drama A. Aida, skrip dan watak berbeza punca tarik diri

Amelia menafikan dakwaan yang dibuat oleh A Aida terhadap dirinya.

SELEPAS pelakon Idris Khan membuat kenyataan, Amelia Henderson pula tampil menjelaskan situasi sebenar susulan dakwaan mereka berdua bersikap tidak profesional dengan membatalkan kontrak perjanjanjian sebuah drama terbitan A Aida Production Sdn Bhd.

Terkejut dengan sidang media yang berlangsung pada Jumaat lalu, Amelia, 26, juga menegaskan segala tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya adalah tidak benar.

“Tanpa prejudis saya ingin katakan segala tuduhan adalah tidak berasas dan tidak benar. Saya terkejut dengan sidang media yang dijalankan sebelum ini dan dapat tahu tentang perkara tersebut melalui sosial media.

amelia 2

Amelia menjelaskan dakwaan dia menarik diri daripada drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

“Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan media dan orang awam. Saya faham kontrak tersebut, tetapi saya tidak melanggarnya,” katanya.

Amelia juga mendakwa selepas menandatangani kontrak pada Februari lalu, dia masih belum menerima skrip penuh drama tersebut dan tarikh sebenar penggambaran dimulakan juga belum diketahui.

Dalam masa sama, Amelia memberitahu watak dalam skrip yang diterima pada Mei lalu tidak sama seperti mana ditawarkan ketika awal perbincangan untuk berlakon dalam drama tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Idris Khan tak gentar, sedia jumpa A. Aida di mahkamah... Anggap dakwaan langgar kontrak satu fitnah

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] A. Aida anggap Idris Khan dulu berlakon 'kayu' dan Amelia Henderson tak kenang budi bakal terima habuan disaman

“Kami tanda tangan kontrak pada Februari dan mengikut nota saya penggambaran bermula pada 20 Mei hingga 17 Ogos. Namun ketika menanda tangani kontrak, belum ada skrip penuh atau tarikh yang pasti bila penggambaran akan dimulakan.

“Saya diberitahu watak yang dipegang adalah tentang wanita yang kuat namun apabila terima skrip ia adalah sebaliknya. Jalan cerita drama ini membuatkan saya tertekan dan risau.

“Sebagai pelakon saya ada tanggungjawab untuk memberi contoh baik kepada penonton. Namun apabila membaca skrip ia bertentangan dengan prinsip saya dan saya tidak boleh terima. Lebih teruk lagi ia tidak sama seperti digambarkan awal dahulu.

Jalan cerita drama ini membuatkan saya tertekan dan risau

AMELIA HENDERSON

PELAKON

“Keutamaan saya adalah penonton,” ujarnya.

Amelia menjelaskan hal tersebut dalam satu perkongsian video di laman Instagram miliknya pada Sabtu.

Pada Jumaat lalu penerbit Datuk A Aida dalam satu sidang media memberitahu bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Amelia dan Idris gara-gara menarik diri saat akhir daripada membintangi drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Selain kecewa dengan tindakan dua pelakon itu, A Aida juga mendedahkan dia mengalami kerugian besar akibat sikap tersebut.

Artikel Lain