suria

Penerbit filem jawab isu produksi dituduh sengkek minta tajaan makanan, penyelaras lokasi tersalah guna poster lama

Penerbit dan pengarah syarikat K Titanium Picture, Subash menegaskan pihaknya tidak menggunakan poster lama untuk minta tajaan makanan.

ISU syarikat produksi didakwa tiada bajet hingga terpaksa meminta sumbangan makanan dan minuman daripada penduduk kampung di Kedah disifatkan sebagai salah faham yang tidak disengajakan.

Tampil menjelaskan kekeliruan itu, wakil syarikat produksi K Titanium Pictures Sdn Bhd selaku penerbit baharu filem Misteri Hutan Tok Kepak menafikan mereka terlibat dalam urusan mendapatkan tajaan berkenaan.

Menurut pengarah syarikat, Datuk Subash Sundaramoorthy, pihaknya difahamkan penyelaras di lokasi penggambaran di Kedah tersalah menggunakan poster lama yang masih memaparkan logo syarikat NS Film Productions Sdn Bhd.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat filem ada duit! Nak bagi pelakon makan minta orang kampung? Ini jawab pengarah

"Syarikat saya tiada kena mengena dengan posting tersebut. Saya tak pasti sama ada perkongsian itu baharu dikongsikan atau dah lama.

"Kemungkinan besar, penyelaras lokal di Kedah telah tersilap menggunakan poster lama. Pihak kami juga sudah mengarahkan dia untuk memadam posting tersebut.

filem 2

Netizen dakwa syarikat produksi tidak malu meminta tajaan makanan.

"NS Film tidak ada kena mengena dengan penerbitan filem itu lagi. Pihak kami pun ada poster baharu yang mempunyai logo syarikat," katanya kepada mStar.

Terdahulu, mStar menyiarkan kenyataan penerbit NS Film Productions Sdn Bhd iaitu Nasyriq Nawawi yang melahirkan rasa kurang senang apabila logo syarikatnya digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan mendapatkan tajaan.

Lebih memalukan apabila permohonan tajaan yang dihebahkan menerusi Facebook itu menerima respons negatif daripada penduduk di Kedah apabila ada antara mereka mempersoalkan status kewangan syarikat pernibatannya.

Soal tajaan makanan bukan satu isu yang perlu diperbesarkan.... memang sudah menjadi kebiasaan.

DATUK SUBASH SUNDARAMOORTHY

PENGARAH K TITANIUM PICTURES SDN BHD

Untuk rekod NS Film Productions Sdn Bhd adalah penerbit awal Misteri Hutan Tok Kepak sebelum menarik diri daripada filem berkenaan.

Dalam pada itu, Subash berkata soal penajaan makanan sepatutnya tidak menjadi isu besar memandangkan ia perkara biasa dalam setiap produksi.

Tambahnya lagi, penajaan makanan bukan memberi keuntungan kepada sebelah pihak sahaja.

"Ikutkan soal tajaan makanan bukan satu isu yang perlu diperbesarkan. Memang sudah menjadi kebiasaan setiap produksi untuk mendapatkan tajaan.

filem 1

Subash (kanan) di Majlis pelancaran filem Misteri Hutan Tok Kepak.

"Kalau dapat, bagus untuk produksi. Kalau tak dapat, akan guna bajet yang ada. Lagipun penajaan yang dapat itu bukan kelebihan untuk syarikat produksi semata-mata.

"Mungkin netizen tak faham... ia akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak," ujarnya.

Sementara itu, Subash memberitahu tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang cuba mencalarkan nama baik syarikatnya.

"Syarikat kami akan mengambil tindakan susulan menyaman mereka yang mencuba mencalarkan nama baik syarikat.

"Untuk pengetahuan, bajet untuk filem itu bukanlah RM50,000 tetapi sudah dinaikkan kepada hampir RM2 juta," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain