suria

Produksi didakwa subahat terima artis tipu sijil vaksin masuk set, Shahrulezad ‘warning’ jangan buat hal - “Tolong jujur, bekerja dengan niat menipu ni tak berkat”

Shahrulezad bengang dengan pihak yang tidak bertanggungjawab memalsukan sijil digital vaksin untuk masuk set penggambaran.

KETIKA ramai penggiat industri hiburan mula menarik nafas lega apabila aktiviti penggambaran kembali beroperasi, timbul pula desas-desus tentang wujudnya penipuan dalam kalangan anak seni.

Berkongsi tentang khabar angin itu, pengarah dan penerbit terkenal Shahrulezad Mohameddin mendakwa terdapat segelintir artis yang berani memalsukan sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Tindakan itu dikatakan bagi memastikan nama mereka termasuk dalam senarai yang dibenarkan untuk terlibat dalam sesebuah penggambaran.

"Benda yang merisaukan saya ialah apabila ada kru atau pelakon termasuk extra (pelakon tambahan) yang tak transparent.

"Sejak kebelakangan ini bertebaran khabar angin mengatakan ada beberapa artis yang sanggup berpakat dengan ‘orang dalam’ to fabricate sijil vaksin di MySejahtera hanya kerana mahu namanya ‘lepas’ untuk turun penggambaran.

"Pada tahap ini saya tak tahu nak cakap apa lagi apabila sampai satu peringkat kru dan pelakon sanggup menipu kami," kata Shahrulezad menerusi Instagram.

Pengarah drama Nur ini berkata demikian sebagai reaksi kepada pendedahan Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) Mohd Dean Lau Abdullah. yang mendakwa terdapat jangkitan Covid-19 dalam satu produksi yang sedang menjalankan penggambaran di Kuala Kangsar, Perak.

Lebih menimbulkan kegusaran ramai apabila produksi itu dikatakan cuba menyembunyikan maklumat berkenaan hingga membiarkan mereka positif pulang ke Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut tentang info yang belum disahkan itu lagi, Shahrulezad berkata dia kecewa apabila wujud pihak yang pentingkan diri tanpa memikirkan kesan yang lebih besar kepada orang lain.

"Apabila terjadi perkara ngeri macam cerita ini kami selaku produser yang dah keluarkan duit terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan pentingkan diri mereka.

"Production terpaksa shutdown. Jangkitan akan berlaku... paling ngeri kematian mungkin akan berlaku.

"Terus terang cakap belum ada lagi pakej insurance yang sanggup cover sekiranya malapetaka berlaku di set gara-gara Covid-19. Jadi tolong jujur, bekerja dengan niat menipu ni insyaAllah tak akan berkat sebab kami tak reda apabila kami ditipu," katanya.

Rata-rata rakan artis termasuk Nabila Huda, Eyra Hazali dan Azza Elite turut bersuara dan memberi reaksi tidak berpuas hati dengan sikap segelintir pihak tersebut.

"Susahkan orang lain je. Kesian orang yang jujur... sedih perangai manusia penting diri.

"Allah, hopefully tak terkesan pada production lain.

"Haaa ini lah problem dia! Dah bagi shooting taknak bersyukur, masih nak menipu. Nanti apabila kena tarik balik, merungut, bersedih tak boleh kerja. Dah ada peluang kembali berkerja, tak jujur pula!" kata mereka di ruangan komen.

Artikel Lain