suria

Emma Maembong dan suami serta Aepul (Drama Band) disahkan positif Covid-19 - “Walaupun rasa sihat, buat sahaja ujian calitan sebab kita tak tahu ada atau tak virus itu”

Emma dan suami disahkan positif Covid-19.

SELEPAS beberapa selebriti sebelum ini memaklumkan dijangkiti Covid-19, kali ini pelakon Emma Maembong pula memberitahu dirinya disahkan positif virus itu pada malam Khamis.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail berkongsi berita itu menerusi sebuah video yang menunjukkan dia menjalani ujian calitan di rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Shima Anuar pula positif Covid-19, mengaku bukan kontak rapat pesakit - “Dalam kepala fikir anak-anak saja sekarang ini”

“Buat ujian calitan di rumah sendiri bersama @kumpulan_megaklinik_zahran.

“Sangat bagus dan profesional. Mereka boleh datang ke rumah dan lakukan. Saya tiada apa-apa simptom tapi keputusan ujian calitan positif.

“Jadi, walaupun rasa sihat, buat sahaja ujian calitan sebab kita tidak tahu ada atau tidak virus tersebut dalam diri kita, ” tulisnya.

Emma berkata, dia akan menjalani kuarantin kendiri di kediamannya bermula Khamis.

Walaupun rasa sihat, buat sahaja ujian calitan sebab kita tidak tahu ada atau tidak virus tersebut.

EMMA MAEMBONG

PELAKON

Terdahulu, menerusi suaminya iaitu Shazli Azhar turut memaklumkan keputusan ujian calitan yang dilakukan mendapat dirinya turut positif Covid-19.

Manakala, anak mereka Shariq Gabriel yang kini berusia tiga bulan tidak dijangkiti virus berkenaan.

Aepul mohon doakan diri dan keluarganya.

Emma dan Shazli sah bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup di Bukit Damansara pada 20 Februari tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Shariq Gabriel pada 8 November lalu.

Sementara itu, vokalis Drama Band iaitu Aepul Roza menerusi laman sosial turut memberitahu keputusan ujian calitan mendapati dirinya positif Covid-19.

“Assalamualaikum, dukacita dimaklumkan ujian kali kedua membawa keputusan positif.

“Isteri (Leez Rosli) negatif. Saya sudah mula jalani kuarantin kendiri beberapa hari lepas dan menanti SOP seterusnya. Doakan kami sekeluarga” tulisnya.

Sebelum ini, beberapa selebriti antaranya Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Harris Anuar dan Shima Anuar disahkan positif Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain