suria

PKP bertemu PKP... isu gaji belum 'settle', penulis skrip Aloy Paradoks tuntut Ogy langsaikan hutang! - “Saya dah sampai tahap jatuh benci pada dia”

Aloy Paradoks kesal belum terima bayaran tunggakan gajinya dari tahun lalu.

PENULIS skrip teater komedi Korupsi Dewan Semandung, Aloy Paradoks yang masih belum menerima bayaran tertunggak daripada penerbitnya, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy akan membawa isu itu ke muka pengadilan.

Menurut Aloy atau nama sebenarnya, Nurul Asyikin Abd Hamid, 37, sehingga ke saat ini satu pertiga daripada 'gaji' tunggakannya masih belum dilangsaikan oleh Ogy.

ARTIKEL BERKAITAN: Ogy Ahmad Daud mengaku tak ada duit langsai hutang teater Korupsi Dewan Semandung - “Tapi bukan saya tak bayar langsung ya!”

"Perasaan saya pada dia dah jadi lain sekarang ni, saya dah sampai tahap jatuh benci pada dia. Semua janji-janji yang ditaburkan sebelum ini tak pernah dikotakan.

"Kalau saya dah benci orang itu, memang saya tidak akan hubungi dia. Tapi dia ada sahaja dalam group Whatsapp kami namun seperti biasa, dia hanya berdiam diri sahaja dalam tu.



Aloy Paradoks masih belum mendapat bayaran tunggakan sejak dari tahun lalu.

"Memandangkan bayaran tunggakan untuk saya sebagai penulis skrip teater masih belum dia langsaikan, saya akan bawa perkara ini ke Mahkamah Tuntutan Kecil.

"Saya akan pergi berurusan sebaik sahaja tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir nanti," katanya ketika dihubungi mStar.

Dulu saya masih bagi muka sebab saya hormat pada dia sebagai orang lama dalam industri.

ALOY PARADOKS

PENULIS SKRIP

Aloy kembali menaikkan isu tunggakan bayaran itu sehingga ciapannya di laman Twitter mendapat perhatian ramai.

"PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bertemu PKP. Pelakon kesayangan anda semua Ogy Ahmad Daud, Alhamdulillah belum juga settle kan lagi bayaran upah saya menulis skrip Teater Korupsi Dewan Semandung. Dia memang handal" tulisnya.

Enggan terus 'dipijak', Aloy berkata dia harus menegakkan haknya dan memperjuangkan isu itu agar tidak ada orang lain akan menjadi mangsa selepas ini.

"Dulu saya masih bagi muka sebab saya hormat pada dia sebagai orang lama dalam industri.

"Tapi kali ini saya tak boleh mendiamkan kecurangan (perbuatan melanggar perjanjian yang telah dipersetujui) yang dilakukan agar orang lain tak terkena sama macam saya selepas ini," katanya.

Barisan pelakon yang terlibat dalam teater Korupsi Dewan Semandung.

Aloy sebelum ini pernah membuat laporan polis terhadap Ogy yang didakwa melanggar perjanjian pembayaran di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur pada 21 Jun tahun lalu.

Teater komedi seram, Korupsi Dewan Semandung yang diterbitkan oleh Ogy Ventures & Network itu dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac tahun lalu.

Teater arahan Khir Rahman ini dibintangi oleh Man Raja Lawak, Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain