suria

“Saya nak tanya apa masalah dia dengan saya?” - Noraniza Idris ajak Michael Ang bersemuka, emosi terganggu baca komen negatif pengarah drama

Noraniza Idris terkilan dengan komen negatif dilontarkan Michael Ang.

BINTANG Gegar Vaganza musim ke-tujuh (GV7), Noraniza Idris meluahkan rasa kesal dengan sikap pengarah drama Michael Ang yang sering kali memberikan kritikan pedas terhadap persembahan sepanjang program itu berlangsung.

Menurut Noraniza atau nama sebenarnya, Nor Aniza Idris, 52, biarpun dia langsung tidak membaca komen negatif netizen namun cemuhan yang dilontarkan pengarah tersebut cukup membuatkan emosinya terganggu.

Malah, katanya, apa yang ditulis pengarah Perempuan Tanpa Dosa itu telah menggores hati ahli keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muat naik 'cover' album lama, Noraniza Idris tunjuk bukti tak tiru topi Siti Nurhaliza - “Tahun 80-an lagi Kak Ani dah pakailah!”

"Saya tidak akan baca komen negatif ditulis netizen, pihak pengurusan selalunya akan sekat komen sebegitu daripada semua platform media sosial saya.



Antara komen pedas yang dilontarkan oleh Michael Ang terhadap Noraniza Idris.

"Tapi saya ada terbaca komen Michael Ang sebab ada peminat yang prihatin kongsikan perkara itu dengan saya. Kalau sekalipun dia tak suka saya, sekurang-kurangnya hargailah genre yang saya bawakan dalam pertandingan GV ini.

"Saya boleh terima komen negatif tapi bukan yang keterlaluan sehingga boleh mencalarkan maruah saya dan keluarga. Hormatlah diri saya sebagai sesama Islam," katanya kepada mStar.

Michael sebelum ini dilihat lantang memberikan komen dalam setiap persembahan peserta program realiti GV7 di laman Twitternya dan nama Noraniza di antara penyanyi yang sering mendapat kritikan negatif daripada pengarah tersebut.

Sehubungan itu, Noraniza meluahkan hasratnya ingin bersemuka dengan pengarah tersebut selepas tamat program berkenaan.

Kalau nak tahu, hati saya cepat rapuh sebab kita bukan malaikat, kita hanya manusia biasa.

NORANIZA IDRIS

PENYANYI

"Saya bukan jenis yang akan berdiam diri atau menangis (bila diri dicemuh). Lepas habis final GV7 nanti, memang saya nak jumpa one to one dengan dia! Please call me, saya nak bersemuka dan berkenalan dengan awak.

"Saya nak tanya apa masalah dia dengan saya? Tak layak ke Noraniza Idris masuk GV7? Teruk sangat ke Noraniza Idris di mata Michael Ang? Walaupun saya tahu saya tidak la bagus, tapi dia tak bagi pun pandangan membina yang boleh bantu saya untuk mengangkat genre irama Malaysia.

"Saya memang rasa terkilan sebab Michael Ang satu nama besar, dia bukan netizen dan lebih-lebih lagi dia orang Islam yang tulis macam itu.

"Kalau nak tahu, hati saya cepat rapuh sebab kita bukan malaikat, kita hanya manusia biasa. Bila saya baca komen negatif macam itu, saya akui ada kalanya saya tak boleh nak fokus dalam memberikan persembahan," ujarnya.



Noraniza bersyukur mara ke final GV7.

Sementara itu, Noraniza melahirkan perasaan bersyukur apabila berjaya melangkah ke pentas akhir GV7 yang akan berlangsung pada Ahad depan.

Kata Noraniza, walaupun pada awalnya dia tidak berniat untuk menyertai program ini namun hatinya terbuka dan menganggap ia sebagai satu proses pembelajaran untuk penyanyi lama.

"Saya melihat program GV ini seperti satu akademi inisiatif untuk penyanyi-penyanyi lama sebab kami banyak belajar benda-benda baru pada setiap minggu," katanya lagi.

Selain Noraniza, enam lagi bintang yang berjaya mara ke peringkat akhir GV7 ialah Oja, Muss, Linda Nanuwil, Ashira, Ayu Damit dan Cliff Umar.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain