suria

Didapati lebih utamakan bulan madu, Nelydia Senrose diperintah bayar ganti rugi RM89,000 kepada syarikat kosmetik

Nelydia dituduh langgar perjanjian duta produk syarikat kosmetik.

AKTRES Nelydia Senrose diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM89,144.03 kepada Chriszen Malaysia Sdn Bhd selepas syarikat kosmetik berkenaan memenangi kes saman terhadap heroin filem 'Jebat' itu, yang didakwa melanggar perjanjian sebagai duta jenama produk kecantikan Chriszen, tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah memerintahkan Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 26, membayar ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan saman difailkan Chriszen Malaysia selaku plaintif.

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa ambil duit kerja tak buat, Nelydia Senrose berdepan tuntutan ganti rugi RM160,000 langgar kontrak promosi produk

Hakim itu memerintahkan Nelydia selaku defendan kedua, membayar ganti rugi khas bagi penyediaan acara berjumlah RM16,869.03, ganti rugi am sebanyak RM10,000 dan pelakon itu juga diminta mengembalikan kos perkhidmatan sebanyak RM62,275 kepada Chriszen Malaysia serta membayar kos sebanyak RM10,000.

Mengenai kos perkhidmatan berjumlah RM102,275 yang sepatutnya dikembalikan semula kepada plaintif, mahkamah berpendapat defendan kedua hanya perlu membayar RM62,275 selepas mengambil kira pelakon itu telah membelanjakan RM40,000 bagi sesi fotografi.



Nelydia didapati telah menyebabkan reputasi Chriszen tercalar.

Shamsudin, dalam penghakimannya berkata Nelydia tidak ikhlas dalam melaksanakan tugasnya sebagai duta jenama produk kecantikan itu.

"Mahkamah mendapati defendan lebih mengutamakan bulan madu perkahwinannya daripada mematuhi perjanjian duta jenama berkenaan. Oleh itu, mahkamah mendapati alasan sebenar mengapa beliau tidak menghadiri acara pelancaran produk Chriszen adalah kerana bulan madu dan bukan kerana plaintif (Chriszen) tidak memberi notis secukupnya," kata hakim itu.

Shamsudin berkata plaintif telah memaklumkan kepada Nelydia sejak 8 Mac 2019 tentang acara yang akan diadakan pada 25 April 2019 dan tarikh tersebut turut dipersetujui oleh syarikat pengurusannya iaitu Alfie Management Sdn Bhd.

Bagaimanapun, hakim itu berkata pada 13 Ogos 2019 penghakiman ingkar telah dimasukkan terhadap Alfie Management yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan pertama dalam kes saman berkenaan.

Mahkamah mendapati defendan lebih mengutamakan bulan madu perkahwinannya daripada mematuhi perjanjian duta jenama berkenaan.

SHAMSUDIN ABDULLAH

HAKIM MAHKAMAH SEKSYEN

Mahkamah juga berpuas hati bahawa Nelydia sendiri telah mengetahui bahawa beliau tidak dapat menghadiri acara itu sejak 24 Mac 2019, namun hanya menunggu 19 hari kemudian iaitu pada 12 April tahun sama untuk memaklumkan kepada plaintif mengenai ketidakhadirannya.

"Mahkamah berpuas hati bahawa mesyuarat yang diadakan pada 12 April 2019 adalah atas inisiatif plaintif dan jika tidak kerana mesyuarat itu, plaintif tidak akan tahu yang defendan kedua tidak dapat hadir pada acara tersebut.

"Mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan yang menunjukkan defendan kedua (Nelydia) gagal mematuhi terma-terma perjanjian dan tindakan plaintif mengeluarkan notis 30 hari kepada defendan kedua untuk menjawab e-mel yang dihantar kepadanya adalah berasas.

"Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah mendapati pihak plaintif berjaya membuktikan kes dan defendan kedua telah gagal untuk membuktikan pembelaannya. Oleh yang demikian, tuntutan saman plaintif dibenarkan," kata hakim itu lagi.



Nelydia tidak hadir sebuah majlis anjuran Chriszen tanpa alasan munasabah.

Pada 7 Okt 2019, Chriszen Malaysia menyaman Alfie Management dan Nelydia sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Chriszen Malaysia berkata Nelydia, yang membintangi drama 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' telah dilantik sebagai duta jenama Chriszen melalui satu perjanjian bertarikh 21 Dis 2018 dan berdasarkan perjanjian, kedua-dua defendan perlu mempromosikan produk syarikat termasuk membuat hantaran mengenai produk sebanyak 15 kali di media sosial.

Syarikat kecantikan dan penjagaan kulit itu mendakwa pada Mac 2019, Nelydia telah bersetuju untuk menghadiri satu acara pelancaran media 'Match Matte Serum Foundation' yang akan berlangsung pada 25 April 2019.

Bagaimanapun, dakwa plaintif pada 12 April tahun sama, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Nelydia tidak akan menghadiri acara tersebut tanpa apa-apa penjelasan yang munasabah.

Syarikat itu mendakwa, defendan pertama iaitu Alfie Management, yang menyelia dan menguruskan selebriti itu juga tidak mengambil apa-apa langkah untuk membetulkan ketidakhadiran artisnya atau memberi penjelasan yang munasabah.

Menurut Chriszen Malaysia, atas persetujuan Nelydia untuk menghadiri acara tersebut, plaintif telah membuat penyediaan bahan pemasaran dan promosi termasuk menyewa jurudandan serta model untuk demonstrasi pelancaran solekan.

Dakwa plaintif, ketidakhadiran Nelydia telah menyebabkan reputasi Chriszen Malaysia tercalar dan syarikat itu terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM61,702.40 selain menuntut kedua-dua defendan memulangkan semula kos perkhidmatan berjumlah RM102,275 yang telah diberikan kepada mereka.

Dalam prosiding itu, Chriszen diwakili peguam Tan Eng Keat dan Lim Sin Yee, manakala Nelydia yang tidak hadir diwakili peguam Amirul Izzat Hasri dan Lim Zi-Han. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain