suria

Azwan Ali mengaku bersalah hina kakitangan perubatan, didenda RM17,000

Azwan Ali didenda RM17,000 kerana menghina kakitangan perubatan.

SELEBRITI kontroversi Azwan Ali mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghina kakitangan perubatan Hospital Putrajaya.

Berikutan itu Hakim Azura Alwi menjatuhkan denda sebanyak RM17,000 dan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal berbuat demikian.

Hakim turut memerintahkan permohonan maaf secara terbuka dibuat personaliti itu di dalam mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Polis suruh datang, ikut je la nak takut apa?” - Azwan Ali muncul di mahkamah, dipercayai kes perlekeh kakitangan hospital

ARTIKEL BERKAITAN: Azwan Ali mohon maaf selepas hospital buat laporan polis - “Ada yang suka Diva AA mulut celupar, tapi ada juga tersinggung”

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Ab Razak.

Azwan atau dikenali sebagai Diva AA, 54, didakwa menjejaskan imej dan kredibiliti pegawai perubatan dalam mengendalikan kes Covid-19 melalui dua video yang tular di laman sosial.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Ab Razak ketika ditemui media di luar Komplek Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada Jumaat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu apabila menggunakan laman YouTube dengan nama ‘DIVAAATERSOHOR’ secara sedar menggunakan perkhidmatan komunikasi dan memuat naik video yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Azwan atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali dituduh mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Azwan diwakili peguamnya, Ammanjeet Singh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada Khamis mStar melaporkan Azwan membuat permohonan maaf kepada pihak Hospital Putrajaya kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap mereka.

Azwan memberikan penjelasan kepada pihak media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Ia berpunca daripada rakaman video seorang penyanyi wanita era 80-an yang mengadu tentang layanan kakitangan hospital berkenaan ketika kunjungannya baru-baru ini.

Susulan itu Hospital Putrajaya membuat laporan polis pada Selasa berhubung penularan dua video menjejaskan imej dan kredibiliti pegawai perubatan dalam mengendalikan kes Covid-19 di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Suara ‘hantu’ menghantui Google Maps

Wanita kongsi detik lucu masalah bau di rumah