“Aliff bijak, cuma imannya kurang” - Bella Astillah rayu bantu Aliff Aziz, jangan sorak gembira - Sensasi | mStar

“Aliff bijak, cuma imannya kurang” - Bella Astillah rayu bantu Aliff Aziz, jangan sorak gembira

Aliff memberitahu Bella, dia telah dianiaya oleh seseorang yang baru dikenali.

SUSULAN kontroversi video dan beberapa keping foto penyanyi Aliff Aziz yang memperlihatkan bahagian belakangnya dicacah dengan lukisan menyerupai tatu, bekas isterinya iaitu Bella Astillah tampil menjelaskan apa yang berlaku.

Menurut Bella yang baru tiba dari Melbourne, Australia, Aliff memberitahunya bahawa dia telah dianiaya oleh individu yang baru dikenalinya.

"Saya sangat-sangat sedih dengan apa yang menimpa diri Aliff. Walau apapun dia tetap bapa kepada anak saya.

"Dan sebenarnya sebelum Bella berangkat ke Melbourne, Bella bawa Ayden berjumpa dengan dia di Singapura untuk luangkan masa dengan daddy dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz abadi nama Bella di dada, katanya cacah guna inai hitam... bukan dakwat tatu


Bella menjelaskan perkara sebenar mengenai foto dan video bekas suaminya tersebar.

"Apa yang terjadi sekarang sangat mengejutkan saya dan keluarga. Saya tak dapat menahan sedih dan menghubungi dia pagi tadi dan dia beritahu dianiaya oleh orang yang baru saja dia kenal yang terdapat dalam video tersebut hanya untuk mengenakan dia," katanya.

Beberapa keping foto Aliff yang memperlihatkan bahagian dadanya dicacar nama Bella dan lukisan penuh di bahagian belakang badan menjadi tular di laman sosial sejak Sabtu.

Bagaimanapun, Aliff sudah menjelaskan lukisan tersebut hanya diukir menggunakan inai hitam.

Selain foto-foto tersebut, video yang memperlihatkan Aliff sedang bertengkar dengan seseorang menerusi telefon turut menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial.

Tapi niat dan tujuan utama saya kat sini, Aliff berasa kehilangan dan berputus asa. Perlukah kita bersorak gembira? Adakah kita betul-betul tiada hati dan perasaan?

Bella Astillah

Bekas isteri Aliff Aziz

Tambah Bella lagi, dia menasihati netizen untuk memberi ruang kepada Aliff yang kini dalam keadaan tidak stabil dan kemurungan.

"Tapi niat dan tujuan utama saya kat sini, Aliff berasa kehilangan dan berputus asa. Perlukah kita bersorak gembira? Adakah kita betul-betul tiada hati dan perasaan?

"Adakah kita atau ahli keluarga kita dah cukup sempurna? Adalah lebih baik kita doa yang baik-baik sebab kita sendiri tak tahu apa dan bagaimana pengakhiran hidup kita.

"Jangan kita meremehkan hal yang berkenaan dengan kemurungan. Saya selalu beritahu Aliff, dia sentiasa boleh hubungi Ayden. Bila-bila masa," katanya.

Pelukis inai mendedahkan dia individu yang bertanggungjawab melukis nama Bella di dada Aliff menggunakan inai hitam.

Dalam pada itu, Bella mengakui dia tidak menyimpan perasaan dendam dan sudah memaafkan sepenuhnya bekas suaminya itu.

"Saya tak berdendam dengan dia, saya dah maafkan dia 100 peratus. Siapalah saya nak menghukum dia. Aliff seorang yang sangat bijak, berilmu tinggi cuma iman dia kurang.

"Dan kepada siapa pun yang berkawan dengan Aliff sekarang, lindungi dan bantulah dia bukan sebaliknya. Adakah kita rasa puas dan hebat sekiranya apa terjadi pada Aliff?

"Nauzubillahminzalik. Kita doa yang baik-baik dan komen yang baik-baik kat IG dan Twitter dia, mana tahu dapat bantu dia. Dan semoga Aliff kembali sihat, mudah-mudahan. Semoga kuat!" ujarnya.

Aliff beri bayangan ingin kembali bersama Bella.

Aliff sebelum ini, memberi bayangan ingin kembali bersama bekas isterinya, Bella Astillah selepas mereka bercerai pada 15 Mei lalu.

Untuk rekod, Aliff dan Bella berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

Pelakon itu sebelum ini pernah beberapa kali kantoi curang sehingga Bella akhirnya nekad meneruskan kehidupan bersama anak mereka tanpa Aliff.

Bella Astillah , Aliff Aziz

Artikel Lain