‘No more!’ Bintang utama ‘Dia Menantu Rahsia’ antara pelakon bakal disenaraihitamkan - Sensasi | mStar

‘No more!’ Bintang utama ‘Dia Menantu Rahsia’ antara pelakon bakal disenaraihitamkan

Antara pelakon 'Dia Menantu Rahsia' iaitu Raysha Rizrose (dari kiri), Ashraf Muslim dan Fazlina Ahmad Daud.

BENGANG dengan sikap segelintir pelakon Dia Menantu Rahsia yang berat memberikan kerjasama, produser Datuk A. Aida memutuskan untuk menyenarai hitamkan mereka daripada terlibat dalam drama terbitan syarikatnya pada masa hadapan.

A. Aida atau Zaidah Awang, 49, berkata, keputusan itu bertujuan untuk ‘mengajar’ mereka agar tidak berkira dengan tanggungjawab yang diamanahkan selepas ditawarkan berlakon dalam drama produksinya.

No more! Saya akan ‘blacklistkan’ beberapa pelakon dalam drama ini termasuklah salah seorang teraju utamanya kerana enggan melakukan promosi drama yang mereka lakonkan,” ujar penerbit A.Aida Production ini kepada mStar Online.

Dia Menantu Rahsia sebuah drama adaptasi novel disiarkan menerusi slot Akasia, TV3, pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 7 malam.

Ia membariskan pelakon antaranya Ashraf Muslim, Raysha Rizrose, Syazuwan Hassan, Mona Allen, Aisya Hasnaa, Reza Hasbi, Fazlina Ahmad Daud, Wilma Muhammad dan Aida Khalida.

A. Aida berkata mengikut dalam kontrak yang ditandatangani, pelakon drama itu perlu melakukan promosi dengan cara menguarkan-uarkan drama berkenaan di media sosial masing-masing.

Malah ada juga sesetengah pelakon yang meminta bayaran sehingga RM3,000 untuk setiap ‘posting’ dibuat dan ia memang melampau.

DATUK A. AIDA

PRODUSER

Katanya, hanya segelintir sahaja pelakon karya itu berbuat demikian manakala yang lainnya enggan membantu.

“Mereka sepatutnya bersyukur dengan tawaran diberikan dan perlulah membantu mempromsikan hasil kerja lakonan masing-masing namun menjadi sebaliknya.

“Malah ada juga sesetengah pelakon yang meminta bayaran sehingga RM3,000 untuk setiap ‘posting’ dibuat dan ia memang melampau,” katanya.

Jelas A. Aida lagi, mereka yang mempunyai sikap seperti ini tidak akan lagi ditawarkan untuk membintangi drama terbitan syarikatnya pada masa hadapan.

Drama ini disiarkan sejak 29 Januari lalu dan diterbitkan sebanyak 28 episod.

Lebih Artikel