suria

Tidak mudah tinggalkan dunia glamor, Neelofa pilih ketenangan selepas berkahwin

Neelofa (kiri) mengakui kehidupannya lebih tenang selepas berkahwin.

PENGACARA dan usahawan Neelofa berkongsi perjalanan transformasi hidupnya selepas mendirikan rumah tangga termasuk beralih daripada dunia glamor kepada kehidupan yang lebih sederhana dan tenang.

Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 37, berkata keputusan untuk meninggalkan kehidupan sentiasa menjadi perhatian bukan sesuatu yang mudah.

"Untuk switch pada kehidupan berkahwin dan duduk di sini, buang dunia glamor ini bukan satu perkara mudah. Kebanyakan orang yang melalui semua ini mereka akan mengalami depresi, tak boleh terima hakikat dan sebagainya. 

"Namun diawal perkahwinan kami, waktu itu PKP, tak ada anak lagi kami banyak belajar tentang hadis-hadis Nabi tentang kemasyhuran dan dunia. 

Neelofa (kiri) dan Haris berkongsi kisah kehidupan di Ruang Cerita Zayan.

"Jadi perkara itu banyak membentuk persepsi dan fikiran saya untuk membuang semua kehidupan glamor dengan baik," katanya.

Neelofa berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di program audio siar Ruang Cerita Zayan yang dimuat naik di YouTube. 

Mengimbas kembali tahun 2020 sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, Neelofa mengakui ketika itu kerjaya seninya berada di puncak.

Pelbagai peluang terbuka luas, termasuk perancangan untuk mengembangkan kerjaya ke luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa lebih tenang tak tunjuk wajah anak, PU Riz tunggu sehingga boleh dakwah

ARTIKEL BERKAITAN: PU Riz, Neelofa didik anak kenal Tuhan melalui buku sejak kecil

"Saya terfikir juga sebab waktu tahun 2020 sebelum PKP, kehidupan saya sebagai artis berada di puncak. 

"Dengan undangan luar negara, saya cuba bina kerjaya di Eropah, Indonesia dan sebagainya. Saya dah bercadang nak sewa apartment di Perancis dan rumah di Indonesia. 

"Saya dah mula buat survey sebab sudah ada agensi di sana," ujarnya.  

Pun begitu, selepas mendirikan rumah tangga bersama pendakwah bebas Haris Ismail, keutamaan hidupnya mula berubah.

Kongsi Neelofa, meskipun tidak lagi menjadi perhatian seperti dahulu, dia mengakui ketenangan yang dirasai jauh lebih bermakna. 

"Selepas berkahwin walaupun saya sudah kurang berada di hadapan kamera dan menjadi perhatian ramai tapi memang jauh berbeza rasa tenangnya hidup ini. 

Neelofa meninggalkan dunia glamor demi keluarga.

"Saya cuba sedaya upaya untuk mengimbangkan dunia dan akhirat. Jadi kehidupan yang Haris bawa dalam gaya hidup kami bersama anak-anak, kami cuba seimbangkan semua. 

"Kejar dunia juga tetapi kalau terlalu banyak dunia kita akan serabut, namun kalau ada dunia dan akhirat hidup kita akan okay insya-Allah," katanya.

Untuk rekod, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021. 

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Bilal, 4, dan Abbas yang kini berusia tiga tahun

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain