suria

Peminat Irfan Zaini kena pukul selepas ambil gambar bersama, siap dapat amaran tak mahu kongsi ‘Malik’

Irfan bimbang peminat terlalu agresif sehingga mencederakan.

WATAK Malik yang dibawa oleh Irfan Zaini dalam filem Blood Brothers: Bara Naga sememangnya mencuri tumpuan dan menjadi kegilaan ramai, khususnya peminat wanita.

Namun, populariti itu turut mengundang insiden yang tidak dijangka apabila Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 30, mendedahkan seorang peminat wanita pernah cedera dipukul hanya kerana mengambil gambar bersamanya.

Penyerang terbabit turut memberi amaran kepada mangsa agar tidak mendekati Irfan kerana mendakwa pelakon itu miliknya.

Irfan jadi rebutan para gadis.

"Ada peminat fanatik, susah nak kawal mereka ini kerana mereka sayang sangat dan perkara itu tidak boleh nak dihentikan.

"Ketika berada di Kuching, Sarawak ada seorang peminat ambil gambar dengan saya.  Lepas itu ketika dia pergi ke tandas ada perempuan lain ikut dan belasah dia sampai berdarah. 

"Dia tak kenal pun individu yang pukul, tapi dia diberi amaran Malik itu miliknya," katanya kepada mStar.

Irfan berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Tayangan Drama Premium Terbaru Dari Astro Originals, Honey Trap yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Watak ‘Malik’ digilai peminat, ‘Blood Brothers’ lonjakkan nama Irfan Zaini

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pandai cakap bahasa Hindi, Irfan Zaini terlepas peluang berlakon Bollywood

Berkongsi reaksi ketika itu, dia mengakui hilang kata-kata apabila menerima foto kiriman peminat yang memaparkan dirinya dalam keadaan berdarah.

Namun tiada apa yang boleh dilakukan selain meninggalkan pesan agar peminatnya itu menjaga keselamatan diri dan membuat laporan polis.

"Dia ambil gambar yang berdarah itu dan beritahu saya. Saya tak tahu macam mana nak reaksi, tapi kalau boleh jangan macam itu.

"Saya ada pesan pada peminat itu untuk jaga diri dan rasanya dia juga sudah buat laporan polis. Saya pun tak nak dia bertindak seperti itu," kongsinya. 

Kalau boleh peminat jagalah batas, tak perlu sampai bertindak agresif.

IRFAN ZAINI

PELAKON

Menurut Irfan, dia sentiasa cuba memberi layanan sama rata kepada peminatnya walaupun dalam pertemuan yang sangat singkat.

Tambahnya setiap setiap karya lakonan juga menjadi tanda kasih sayang buat peminat.

"Saya sayang semua, jangan sampai memukul. Semua sama sahaja tak semestinya kalau dia ambil gambar dengan saya mereka itu lebih penting.

"Kalau boleh saya nak pergi bergambar dengan setiap orang tapi tidak boleh sebab terlalu ramai. Saya hanya boleh bagi kepada semua karya-karya saya yang seterusnya," ujarnya.

Irfan mahu layan peminat sama rata.

Dalam pada itu, Irfan mengakui dia sentiasa bimbang sekiranya peminatnya selalu bertelagah antara satu sama lain sehingga mencederakan antara mereka.

"Kalau boleh peminat jagalah batas, tak perlu sampai bertindak agresif. Tak syok lah macam ini.

"Kalau mereka sayang saya harap jangan buat macam itu. Saya tak suka kekerasan," luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain