suria

Konsert Pentas Peluru Cokelat laris, Barbarik janji persembahan penuh tenaga dan berbaloi

Barbarik bakal menghiburkan peminat di Zepp, Kuala Lumpur pada 26 Jun ini.

VOKALIS kumpulan Barbarik iaitu Mus menjanjikan persembahan terbaik pada malam Konsert Pentas Peluru Cokelat yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun ini. 

Mus atau Mustaffa Din, 57, berkata, dengan lambakan konsert yang dianjurkan penganjur dalam dan luar negara, kumpulan mereka perlu menarik perhatian peminat dengan persembahan luar biasa.

"Sekarang ini ada banyak konsert dan cabaran kami adalah bagaimana untuk meyakinkan peminat datang ke konsert kami. 

"Orang mungkin menganggap persembahan yang kami tampilkan macam konsert-konsert yang pernah dibawakan. 

Mus menjanjikan persembahan terbaik pada malam konsert.

"Jadi kami mahu meyakinkan peminat persembahan kali ini bukan seperti yang sebelumnya, kami mahu beri kelainan agar setiap wang yang dilaburkan adalah berbaloi," katanya kepada mStar. 

Mus berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Pentas Peluru Cokelat yang diadakan di Anggun Menawan Studio, Setapak, Kuala Lumpur pada Isnin. 

Dalam pada itu, anggota kumpulan Barbarik yang lain iaitu JoBranko memberitahu mereka kini sudah 90 peratus bersedia untuk menggegarkan konsert itu.  

Kata Jo atau Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, konsert yang akan berlangsung itu menampilkan pelbagai kelainan agar peminat tidak jemu untuk melihat persembahan mereka. 

ARTIKEL BERKAITAN:  Barbarik buat konsert bukan sebab duit, tiada perancangan tambah hari kedua

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Peluru Coklat’ bukti Barbarik serius, hiburkan peminat 28 Jun di Zepp KL

"Alhamdulillah persiapan daripada segi persembahan pada malam konsert hampir 90 peratus siap.  

"Insya-Allah peminat akan dihiburkan dengan persembahan yang mereka tidak pernah tonton. Ia memang betul-betul konsert rock dan kami sudah bersedia untuk menghiburkan penonton," ujarnya. 

Ditanya mengenai penjualan tiket, Jo meluahkan rasa syukur kerana konsert pada kali ini sekali lagi menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat. 

Ada banyak konsert dan cabaran kami adalah bagaimana untuk meyakinkan peminat datang ke konsert kami. 

MUS

VOKALIS BARBARIK

"Alhamdulillah jualan tiket setakat ini sangat memberangsangkan. Ruangan VIP sudah habis terjual. Kami ingin fokus pada penjualan ruangan arena. 

"Tiket yang tinggal adalah untuk kategori standing (berdiri). Barangkali kebanyakan peminat kami dalam kalangan yang sudah berusia jadi mereka lebih memilih di ruangan tempat duduk. 

"Tapi takkan konsert rock kami nak buat semuanya untuk duduk. Jadi harap pada saat-saat akhir nanti tiket semua dapat dihabiskan," katanya.

Dari kiri: Rozaimi, Mus, Jo dan Ainol bersedia untuk menghiburkan peminat.

Selain Mus dan Jo, kumpulan Barbarik turut dianggotai oleh Ainol serta Rozaimi. 

Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat bakal menyajikan lagu-lagu baharu kumpulan tersebut. 

Menghangatkan lagi persembahan, konsert ini turut menampilkan gitaris undangan seperti Shah Slam, Ujang Tukimon, Karl Cromok dan Muzza. 

Tiket konsert sudah mula dijual dan peminat boleh mendapatkan menerusi pembelian di laman web ilassotickets.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain