SEPULUH tahun membina kerjaya di negara China, pelakon Nina Kho berkongsi pengalaman mendapat layanan yang jauh berbeza ketika terlibat dengan penggambaran di sana.
Menurut Nina atau Nina Kho Siew Ching, 33, seperti sudah menjadi satu amalan layanan istimewa diberikan terhadap seseorang berdasarkan status atau peranan dalam sesebuah produksi.
Katanya sebagai pelakon utama dia akan menerima bilik persalinan khas selain hidangan mewah dan tidak sama seperti orang lain.
Nina terima layanan istimewa di China.
“Di China, mereka beri layanan berbeza ikut watak. Kalau pelakon utama, disediakan bilik khas yang tidak boleh dimasuki oleh pelakon lain.
“Pihak penerbit, pengarah dan pelakon utama akan menerima makanan dalam kotak mewah dengan lapan jenis lauk. Bungkusan pun lebih cantik.
"Manakala untuk kru lain, mereka hanya diberi bungkusan biasa," katanya kepada mStar.
Nina berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Tayangan Drama Premium Terbaru Dari Astro Originals, Honey Trap yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Diejek kerana berdarah kacukan, Nina Kho buktikan wajah eksotik pun boleh sertai ratu cantik
ARTIKEL BERKAITAN: Nina Kho tak kekok bawa watak mualaf, rasa diri nampak cantik pakai hijab
Berkongsi lanjut, Nina pernah menyaksikan sendiri seorang kru produksi diherdik gara-gara mahu menumpang kenderaannya.
Lebih mengejutkan lagi sikap sebenar individu yang bercakap kasar itu tidak seperti disangkakan.
“Pernah saya mahu tumpangkan dua kru balik ke tempat penginapan. Tapi mereka dimarah dan dihalau, sedangkan kereta saya besar. Mereka juga tinggal di hostel berdekatan hotel saya.
Di Malaysia, kita layan semua orang sama rata.
NINA KSC
PELAKON
"Individu yang marah itu sentiasa cakap lemah-lembut dengan saya dan beri layanan baik. Tidak sangka dia boleh marah kru produksi dengan teruk," ujarnya.
Disebabkan pengalaman sebegitu Nina merasakan dia lebih selesa untuk budaya kerja di Malaysia yang memberi layanan sama-rata kepada semua kru produksi termasuk pelakon.
Baginya amalan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana menimbulkan rasa kurang senang ketika bekerja.
Nina tak selesa layanan terlalu istimewa.
“Di Malaysia, kita layan semua orang sama rata. Tiada yang lebih tinggi atau rendah. Kita siap berkongsi segala perkara.
“Saya memang tak selesa dengan suasana di sana. Tak seronok bila berada dalam persekitaran begitu,” kongsinya.
Nina sebelum ini memulakan kerjaya di China sekitar tahun 2015 sebelum mengembangkan bakat di Malaysia pada 2022.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube