KEJAYAAN merangkul trofi sempena Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (FFAP61) pada Disember lalu telah membuka ruang buat pelakon dan penyanyi Azira Shafinaz mengembangkan lagi bakat ke peringkat antarabangsa. Azira atau Azira Shafinaz Ramlan, 34, tidak menyangka dia menerima beberapa panggilan daripada produser dan pengarah luar yang menawarkan peluang terlibat dalam projek filem mereka. Meskipun belum ada sebarang kata setuju, namun bagi pelakon ini ia sebagai satu batu loncatan untk terus menyerlah dalam dunia lakonan selepas menerima tiga tawaran berbeza. Trofi di FFAP61 buka peluang buat Azira kembangkan kerjaya. "Semestinya saya berbangga apabila mendapat tawaran berlakon begini. Ia memberi satu kepuasan dalam kerjaya saya sebegai pelakon. Saya harap ia tidak terhenti di sini. "Jika ada peluang begini mestilah saya akan terima. Namun tidak bermakna saya akan tinggalkan Malaysia. "Semuanya masih dalam perbincangan lagi. Jadi saya tidak boleh bercakap banyak tentang perkara itu," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Penat lelah 10 tahun akhirnya terbayar, Azira Shafinaz menang trofi Pelakon Wanita Komedi Terbaik ARTIKEL BERKAITAN: Puasa dan ‘OMAD’ rahsia Azira Shafinaz dapat berat badan ideal Azira ditemui ketika majlis tayangan drama lakonannya berjudul One Cent Thief musim kedua (OCT2) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu. Dalam FFAP61 yang berlangsung sebelum ini, Azira membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Indera. Mula mendapat perhatian produksi luar negara, Azira bagaimanapun tetap bertegas dengan pendirian untuk menjaga batas agar tidak melanggar sensitiviti agama dan budaya. Jika ada peluang begini mestilah saya akan terima. Namun tidak bermakna saya akan tinggalkan Malaysia AZIRA SHAFINAZ PELAKON/PENYANYI "Saya tidak akan buat sesuatu yang melanggar hukum dalam agama. Itu kena praktikan. "Saya amat tegas dalam perkara itu dan menetapkan syarat apabila diberi tawaran," jelasnya. Dalam kegembiraan meraih anugerah di peringkat antarabangsa, pelakon ini turut meluahkan rasa kecewa kerana menganggap namanya masih kurang menyerlah dalam industri tempatan. Azira harap bakatnya akan lebih dihargai industri tempatan. "Tak sangka dua kemenangan saya sebelum ini adalah di luar negara. Ia membuatkan saya berfikir apa lagi yang boleh dilakukan untuk industri kita," ujarnya. Sementara itu drama bersiri OCT2 akan memulakan tayangan pada 31 Januari ini di saluran Astro Ria, Citra dan aplikasi Sooka. Selain Azira drama ini juga sekali lagi menampilkan pelakon Syafiq Kyle, Faizal Hussein, Fabian Loo dan Datin Sofea Jane. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!