suria

Azira Shafinaz perjelas salah faham menang pelakon komedi terbaik... Sekarang tidur pun sambil peluk trofi

Azira tidak mahu disalah anggap sebagai pelakon komedi.

KEMENANGAN Azira Shafinaz menerusi Asian Academy Creative Awards pada 7 November lalu mendapat pelbagai reaksi berbeza dalam kalangan netizen yang keliru dengan trofi diterimanya.

Jelas Azira atau Azira Shafinaz Rahman, 31, kemenangan tersebut bukan mengiktirafnya sebagai pelakon komedi sebaliknya menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik untuk drama komedi.

Walaupun berlaku kekeliruan itu, Azira tetap bersyukur jika ada pihak dapat melihat kemampuannya sebagai pelakon komedi kerana ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan.

aziraa1 - 1

Azira tidak menyangka meraih kemenangan di peringkat Asia.

Saya sebenarnya tak menjangka dengan kemenangan ini namun ada segelintir salah anggap kerana ingat saya seorang pelakon komedi.

"Saya tak mahu orang rasa kemenangan ini salah kerana ada yang mempertikaikan sejak bila saya berlakon komedi.

"Untuk tidak mahu orang salah faham, sebenarnya saya memenangi kategori watak dalam drama komedi tapi Alhamdulillah kalau orang nampak saya boleh berlakon dalam genre itu," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Penat lelah 10 tahun akhirnya terbayar, Azira Shafinaz menang trofi Pelakon Wanita Komedi Terbaik

ARTIKEL BERKAITAN: Lakonan dalam 'Talbis Iblis' dianggap layak dapat anugerah, Azira Shafinaz harap pujian mampu tarik penonton ke pawagam

Azira berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) yang berlangsung pada petang Ahad.

Dalam pada itu, Azira meluahkan rasa syukur dengan anugerah pertama dimenanginya selepas 10 tahun bergiat aktif dalam dunia hiburan.

Kata Azira, dia terbuka untuk berlakon dalam drama komedi kerana sebelum ini pernah menyertai program Sepahtu Reunion yang dilakonkan bersama Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Ilya dan Mamat Sepah.

aziraa2 - 1

Azira terbuka untuk berlakon lebih banyak watak komedi.

"Alhamdulillah saya tak sangka rezeki saya rupanya di luar (peringkat Asia) sebab selama 10 tahun dalam industri saya tidak pernah dapat peluang merangkul anugerah.

"Sekarang tidur pun dengan trofi sebab bila bangun saya rasa ia bukan mimpi.

"Insya-Allah selepas ini saya terbuka berlakon dalam drama komedi sebab sebelum ini pun saya pernah terlibat dalam program Sepahtu Reunion.

aziraa3 - 1

Peminat keliru dengan kemenangan Azira sebagai pelakon komedi.

"Saya ingat program itu berdasarkan skrip tapi rupanya spontan. Alhamdulillah Sepahtu pun beri pujian dan tak sangka saya boleh buat," ujarnya.

Azira memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik untuk drama komedi iaitu Ijab Kabut di Asian Academy Creative Awards yang berlangsung di Singapura.

Azira berjaya mengalahkan tiga lagi calon dalam kategori tersebut iaitu Jeanie Ng Ka Yan (Hong Kong), Ratna Pathak Shah (India) dan Isabelle Daza (Filipina).

Pun begitu, kemenangan diraih Azira mengundang tanda tanya dalam kalangan peminat yang mempersoalkan sejak bila dia bergelar pelakon komedi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain