suria

Lakonan dalam 'Talbis Iblis' dianggap layak dapat anugerah, Azira Shafinaz harap pujian mampu tarik penonton ke pawagam

Azira terharu lakonannya menerima reaksi positif.

PENAMPILAN sulung anggota kumpulan De Fam iaitu Azira Shafinaz menerusi filem Talbis Iblis bukan sahaja mendapat pujian penonton malah ramai merasakan lakonannya layak menerima pencalonan anugerah berprestij seperti Festival Filem Malaysia (FFM).

Bagi Azira atau Azira Shafinaz Ramlan, 31, setiap pelakon pasti mengimpikan sebuah pengiktirafan atas usaha keras mereka namun perkara itu bukan menjadi keutamaannya.

Sebaliknya, dia sedar masih banyak perkara yang belum dikecapi selain ingin menimba lebih banyak pengalaman terlebih dahulu.

"Orang kata, kalau ada rezeki Insya Allah... sejujurnya sebagai pelakon mestilah kita mengharapkan sesuatu.

azira1

(Dari kiri): Iedil Putra, Azira Shafinaz dan Fadlan Hazim ditemui pada majlis ramah mesra drama Ijab Kabut.

"Tapi untuk diri saya sendiri, masih ada banyak perkara yang saya ingin capai sebagai pelakon. Antaranya adalah berlakon dalam sebuah pementasan teater," katanya kepada mStar.

Azira ditemui pada majlis ramah mesra bersama barisan pelakon siri Viu Original iaitu Ijab Kabut di Kuala Lumpur pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Memang kecoh! Drama Viu Original 'Ijab Kabut' angkat kisah kerja kahwin, pengantin pandemik dapat hadiah majlis resepsi RM350,000

ARTIKEL BERKAITAN: Lega tiada lagi gosip cinta... Azira Shafinaz mengaku masih 'single', impi lelaki memahami kerjayanya

Dalam pada itu, Azira berkata, dia terharu dan merendah diri apabila lakonannya dalam filem Talbis Iblis mendapat reaksi positif penonton.

Katanya, ulasan positif itu sedikit sebanyak dapat menarik penonton lain ke pawagam.

"Ini adalah pertama kali saya berlakon filem, memang rasa terharu apabila dapat pujian.

azira2

Azira mahu berlakon teater pula selepas ini.

"Bila penonton beri komen yang baik, orang datang tonton dan sokong filem itu... jadi ia perkara baik.

"Saya rasa ini masanya untuk peminat nampak bakat lakonan yang saya ada. Sebelum ini, orang tahu saya seorang pelakon tetapi mungkin belum sampai ke tahap itu," ujarnya.

Sementara itu, Azira turut melahirkan rasa gembira apabila filem berkenaan berjaya mendapat kutipan melebihi RM1 juta selepas empat hari ditayangkan.

Mengulas lanjut tentang drama Ijab Kabut, Azira memberitahu walaupun bergenre komedi, drama ini bakal menyentuh emosi penonton kerana ia menyentuh soal perhubungan dan persahabatan.

"Saya rasa Ijab Kabut merupakan drama romantik komedi yang segar kerana bukan hanya lucu, malah saya pasti ia bakal menyentuh emosi penonton.

"Walaupun romantik komedi, tetapi drama ini banyak memaparkan emosi kesedihan, perhubungan, persahabatan dan bagaimana kecurangan berlaku," katanya.

Ijab Kabut boleh ditonton menerusi plaform digital Viu pada setiap hari Khamis pukul 12 tengah hari. Turut membintangi drama bersiri Viu Original ini adalah Fadlan Hazim dan Iedil Dzhurie Alaudin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain