suria

Teruja kongsi pentas bersama Wali Band, Floor88 siapkan susunan muzik berbeza sempena konsert ‘Dream Festival Collaboration Vol. 2’

Floor88 mempersiapkan diri mereka dengan susunan muzik terbaik sebelum konsert.

BAKAL tampil dalam konsert Dream Festival Collaboration Vol. 2 pada 20 Mei ini, Floor88 menjanjikan persembahan yang pasti meninggalkan memori indah buat peminat.

Lebih istimewa lagi apabila Floor88 turut berkolaborasi bersama kumpulan Wali Band yang cukup popular di Indonesia dan Malaysia.

Melihat ia sebagai satu penghormatan dalam kerjaya seni mereka, Ayie selaku vokalis Floor88 turut meluahkan rasa teruja kerana gabungan itu bakal menampilkan kelainan kepada penonton.

floor 88

Floor88 mahu peminat puas dengan persembahan mereka.

"Kami sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan Wali Band kerana lagu-lagu mereka sering kami dengar sejak di bangku sekolah.

"Kami berharap konsert ini dapat mencipta kenangan terindah buat peminat. Konsert ini juga sangat bermakna buat kami kerana dapat berkolaborasi dengan kumpulan dari Indonesia yang masih mempunyai pengaruh muzik kuat.

"Ini adalah satu penghormatan buat kami kerana Wali Band pernah mencipta fenomena tersendiri sebelum ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wali Band ubati rindu ke Malaysia, senarai lagu konsert ikut pilihan peminat

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tangan ghaib upload filem ‘Bas Terakhir Malam Raya’ di YouTube, Floor88 buat laporan polis tanggung rugi RM2.6 juta

Dalam konsert yang bakal berlangsung di Zepp KL itu, Floor88 juga mahu tampil berbeza dengan kelainan susunan muzik baharu.

Salah seorang anggota Floor88 iaitu Eric berkata mereka tidak mahu mensia-siakan masa dan pelaburan peminat yang hadir dengan hanya menyaksikan persembahan tidak bertenaga.

"Kami berusaha memberikan persembahan yang lebih istimewa untuk konsert ini supaya peminat dapat melihat sesuatu yang berbaloi. Kami tidak mahu menampilkan persembahan yang pernah ditonton peminat sebelum ini.

Ini adalah satu penghormatan buat kami kerana Wali Band pernah mencipta fenomena tersendiri sebelum ini

FLOOR88

"Jadi, kami cuba tampilkan perbezaan pada susunan muzik, termasuk pilihan lagu dengan menyenaraikan beberapa lagu yang jarang-jarang kami persembahkan untuk memastikan peminat berpuas hati,” ujarnya.

Bagi memastikan persembahan mereka lebih bertenaga, Eric berkata kesemua anggota diminta menitikberatkan mengenai kesihatan menjelang konsert.

“Paling utama, Ayie sebagai vokalis perlu mendapat mendapat rehat yang cukup supaya kualiti vokalnya terjaga. Untuk memberikan yang terbaik, Ayie perlukan tidur yang cukup supaya vokalnya tidak koyak.

wali band 1

Wali Band datang ke Malaysia ubati rindu peminat.

“Jika dilihat, Ayie sangat aktif setiap kali beraksi di atas pentas dan karakternya itu antara yang menjadi kekuatan. Kami juga sangat menitikberatkan penjagaan stamina kerana jika stamina kurang, ia akan menjejaskan kualiti persembahan,” jelasnya.

Selain Ayie dan Eric, Floor88 juga dianggaotai oleh, Achoi (gitar), Falique (bass), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Tiket untuk menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol. 2 - Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box) boleh diperoleh menerusi laman www.ticket2u.com.my.

Harga istimewa ditawarkan bagi sepasang tiket bagi mereka yang mendaftar sebagai ahli Dreamers Club Telegram.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain