suria

[V] Tangan ghaib upload filem ‘Bas Terakhir Malam Raya’ di YouTube, Floor88 buat laporan polis tanggung rugi RM2.6 juta

KUMPULAN Floor88 tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun YouTube Jari Hantu atas dakwaan memuat naik filem berjudul Bas Terakhir Malam Raya secara haram di platform berkenaan.

Eric Fuzi selaku pemain keyboard kumpulan itu berkata, syarikat mereka Floor88 Holdings selaku penerbit mengalami kerugian hampir RM2.6 juta susulan filem itu boleh ditonton secara percuma di saluran YouTube.

Setakat ini kata Eric, sebanyak 168,000 tontonan berjaya diraih di platform berkenaan sedangkan filem itu masih lagi ditayangkan secara eksklusif di saluran berbayar Astro First.

"Kami buat laporan polis sebab filem ini masih lagi ditayangkan di Astro First. Banyak kami lihat berlaku kebocoran di saluran lain tapi yang satu ini ambil masa lama untuk diturunkan selepas aduan dibuat.

Floor88

Floor88 kesal ada pihak ambil kesempatan atas usaha keras mereka.

"Jadi kami mahu mengambil tindakan kerana perbuatan mengulang siar filem itu tanpa kebenaran telah menyebabkan kerugian besar di pihak kami," katanya kepada mStar.

Eric bersama dua lagi anggota Floor88 iaitu Ayie (vokalis) dan Shah (gitar) hadir di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur pada Rabu bagi membuat laporan berkenaan.

Turut hadir adalah pengarah bersama iaitu Irwan Rauf dan wakil penerbit, Motion Studios serta Silentkaiju Studio.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang tak nampak kedai, nasi cepat basi... Ayie Floor88 kesal ada individu tergamak hantar sihir, terpaksa mengalah tutup restoran

ARTIKEL BERKAITAN: Gugur air mata jantan Ayie Floor88, menangis atas pentas... Pernah gaduh sampai keluar ‘group WhatsApp’

Dalam pada itu, Eric berkata, anggaran kerugian itu dibuat berdasarkan jumlah tontonan di saluran YouTube berkenaan dan nilai RM15.90 yang sepatutnya dibayar oleh pelanggan Astro First.

Eric juga tidak menolak kemungkinan ada 'orang dalam' terlibat dalam kes tersebut memandangkan mereka telah melakukan semua prosedur kerja yang cukup teratur dalam mengelak kebocoran di platform lain.

"Salinan di YouTube berkenaan tidak terdapat logo Astro First. Jadi ada kemungkinan fail yang dimuat naik adalah salinan asal.

"Kami tak menolak kemungkinan ada orang dalam turut terlibat. Bagaimanapun kami enggan membuat tuduhan melulu. Biarlah pihak polis menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ayie berkata, tindakan mereka membuat laporan polis bertujuan memberi pengajaran kepada pihak terlibat supaya tidak mengambil jalan mudah demi mengaut keuntungan.

Ayie turut berharap hukuman setimpal dapat diambil terhadap pihak terlibat.

"Kami sendiri terkesan dengan isu yang berlaku sebab filem ini melibatkan tiga produksi dan terpaksa mengalami kerugian.

"Saya harap si pelaku dapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain