suria

Guna bekas kurma sandar telefon buat live di TikTok, Johan As'ari tak sangka daripada suka-suka kini raih pendapatan

Johan kini aktif di aplikasi TikTok.

BERMULA sebagai suka-suka, pelakon Johan As'ari tidak menyangka tindakannya aktif di laman sosial TikTok boleh memberinya pendapatan sampingan yang lumayan.

Johan atau Johan Ariff As’ari, 37, berkata, disebabkan sudah hampir tiga bulan tidak mempunyai sebarang tawaran berlakon, dia hanya cuba mengikut trend untuk menghasilkan konten di TikTok.

"Sebelum ini dah tiga bulan saya tidak ada job, dua minggu saya buat siaran langsung di TikTok, saya tak sangka boleh mendapat pendapatan daripada situ.

"Malah, kalau mengikut ranking, saya berada di kedudukan 46 terbaik di Malaysia," katanya kepada mStar.

johan2 - 1

Johan mula meraih pendapatan di TikTok.

Johan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran menandatangani hubungan kerjasama diantara Kamisempoi International Agensi (TikTok) dan kelab wanita ikon Malaysia kempen CSR 'Are you ok?' yang diadakan di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, Johan memberitahu dia langsung tidak berniat untuk mencari pendapatan di aplikasi berkenaan tetapi hanya mahu mengisi masa lapang.

Kata Johan, pertama kali melakukan siaran secara langsung di TikTok, dia sudah menerima banyak hadiah yang diberikan daripada peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Mat Kilau dan Air Force 'box office' tapi sampai sekarang Johan As'ari belum ada tawaran filem baharu

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya seperti dilupakan" - Johan As'ari rasa terpinggir kerana kurang publisiti, terpaksa ikut trend semasa bagi promosi diri

"Saya tak ada niat pun nak cari duit dekat TikTok, hanya nak isi masa lapang disebabkan tidak mempunyai sebarang penggambaran drama.

"Saya hanya sembang bersama peminat dan tak sangka pada hari pertama bermain TikTok saya menerima banyak hadiah," ujarnya.

Dua minggu saya buat siaran langsung di TikTok, saya tak sangka boleh mendapat pendapatan daripada situ.

JOHAN AS'ARI

PELAKON

Sementara itu, Johan berkongsi dia hanya bersembang secara spontan bersama peminat di TikTok dan bukannya mempunyai satu topik khusus untuk dibualkan.

Kata Johan, mungkin peminat lebih suka pendekatan seperti itu yang membuatkan mereka tertarik untuk menonton siaran secara langsung yang dilakukannya.

"Saya siap mengaku dengan mereka masa buat live, 'Guys saya minta maaf saya ni bukan profesional. Saya cuma ada satu telefon bimbit. Pemegang telefon pun tak ada hanya sandarkan telefon pada bekas kurma'.

"Benda sama saja yang saya cakap. Saya rasa mungkin itu lebih menarik perhatian mereka kerana saya lebih spontan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain