suria

Konsert ulang tahun ke-25 Lah Ahmad bangkit nostalgia, segmen tribut Siti Sarah dan Adibah Noor undang air mata

Lah mengalirkan air mata sewaktu membuat persembahan.

KONSERT sulung penyanyi Lah Ahmad yang diadakan pada malam Sabtu berlangsung penuh nostalgia sebelum bertukar emosi apabila bekas anggota kumpulan V.E. itu tampil menyanyikan lagu nyanyian asal Dayang Nurfaizah, Di Pintu Syurga.

Peminat yang memenuhi ruang Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC) itu tidak dapat menahan sebak apabila Lah atau Abdullah Ahmad, 43, gagal menahan air mata ketika menyanyikan lagu tersebut.

Lah tidak dapat menahan sebak kerana mendedikasikan segmen tribut berkenaan kepada dua sahabat perjuangannya dalam industri seni iaitu Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dan Adibah Noor yang terlebih dahulu menghadap Illahi.

Kata Lah, ketika namanya sedang meningkat naik dalam industri muzik, dia terkenang banyak memori indah bersama Siti Sarah yang antara sahabat baiknya dan kehilangan penyanyi berkenaan memberi tamparan hebat buat dirinya.

lah1 - 1

Lah menyampaikan hampir 20 buah lagu di konsertnya malam tadi.

"Waktu awal-awal dalam industri muzik, saya naik masa zaman-zaman Arwah Siti Sarah. Saya ingat dia kenalkan saya dengan Shuib dan beritahu suaminya menguratnya menggunakan lagu Ayu.

"Sewaktu Sarah meninggal dunia, saya dapat tahu menerusi Instagram Shuib. Pemergiannya sedikit sebanyak membuatkan saya terasa kerana rakan seangkatan yang sama-sama berjuang telah pergi selamanya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat kecewa tiket konsert Lah Ahmad habis terjual kurang 24 jam, minta tambah tarikh persembahan

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja konsert, Lah Ahmad hadiah 'Jatuh' buat peminat

Lah menghiburkan peminat hampir dua jam bersempena 25 Years Lah Ahmad Live in Concert.

Dalam pada itu, Lah turut meluahkan rasa cemburu apabila kebaikan yang dilakukan oleh dua rakan artis ini sering diperkatakan selepas ketiadaan mereka.

Tambah Lah, Adibah juga merupakan antara individu yang baik hati pernah dikenalinya dan sering mengambil berat tentang orang lain.

lah11 - 1

Lah memberikan penghargaan buat Sarah dan Adibah dalam segmen tribute.

"Adibah Noor atau saya panggil Kak Dib antara yang insan terbaik yang saya kenal kerana sering mengambil berat tentang orang lain.

"Kita kehilangan orang-orang yang sangat istimewa. Kita ni pun sama juga satu hari nanti pasti akan ‘pergi’. Saya harap saya dapat pergi dengan cara yang elok sama seperti arwah-arwah sahabat saya ini," ujarnya.

Konsert yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-25 pembabitan Lah dalam industri muzik menampilkan 18 buah lagu termasuk Selamat Datang Cinta, Kau Tercipta, Salam, Kerna Sayang, Kenapa dan Ayu.

Selain persembahan solo, Lah turut menampilkan tetamu undangan iaitu kumpulan nasyid Inteam menerusi lagu Salam dan Kasih Kekasih serta penyanyi rap Shazzy dengan lagu Kenapa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berkaitan

Artikel Lain