suria

Jurey Latiff sudah hubungi Fauziah Nawi isu bayaran, minta penggiat seni buat aduan terus kepada PTVM

Jurey sudah menghubungi Fauziah bagi mendapat maklumat lanjut.

PRESIDEN Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli menggesa mana-mana penggiat seni yang mempunyai masalah tidak dibayar selepas menyelesaikan penggambaran diminta tampil membuat aduan terus kepadanya.

Jurey, 57, berkata, sebagai presiden dia enggan memandang ringan isu tersebut kerana ia mampu mencalarkan imej penerbit kerana masih ramai yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pelakon.

"Saya berharap kepada semua pelakon jika mereka berhadapan dengan isu tidak dibayar penerbit, boleh laporkan kepada saya.

"Insya Allah kami akan lakukan sehabis baik untuk sama-sama berunding dengan pihak penerbit berkenaan. Sekiranya isu ini dibicarakan secara umum, saya bimbang ia akan mencalarkan imej semua penerbit di Malaysia," katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad.

jurey2 - 1

Penggiat seni boleh tampil membuat aduan kepada Jurey.

Terdahulu, Fauziah, 69, meluahkan rasa kecewa apabila isu bayaran dalam kalangan artis sudah menjadi sesuatu yang serius namun masih belum menemui jalan penyelesaian.

Pelakon veteran itu turut memberitahu isu berkenaan sudah diadukan kepada beberapa persatuan namun masih tiada perubahan positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Masalah bayaran sudah merebak macam kanser, Fauziah Nawi minta menteri campur tangan

ARTIKEL BERKAITAN: Difitnah salah guna kuasa Presiden PTVM, Jurey Latiff tuntut permohonan maaf - "Saya percaya admin yang menulis itu orang industri"

Dalam pada itu, Jurey memaklumkan sudah menghubungi Fauziah untuk bertanya lebih lanjut mengenai isu dibangkitkan.

Katanya, Fauziah memberitahu hanya bersuara bagi pihak rakan-rakan artis yang takut untuk mengetengahkan masalah tersebut.

"Apa yang saya boleh katakan, selepas ini tidak kira siapa pun dalam industri yang mempunyai masalah bayaran boleh terus merujuk kepada PTVM.

jurey1 - 1

Jurey harap Finas dapat mewujudkan satu ekosistem terbaik untuk industri.

"Saya bukan mahu menjadi hero tetapi setidaknya kami akan berusaha keras membantu menyelesaikan masalah seumpama ini," ujarnya.

Sementara itu, Jurey memohon agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mewujudkan sebuah sistem yang menjadi tunggak bagi membela nasib karyawan tempatan.

"Kita perlu wujudkan ekosistem yang kondusif bermakna satu ekosistem yang boleh diguna pakai oleh semua golongan karyawan termasuk pelakon dan pekerja dibelakang tabir.

"Industri perlu ada satu sistem yang dikawal oleh Finas supaya industry hiburan kita sihat, berdaya maju dan boleh jaga kebajikan penggiat seni," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain