suria

Bajet besar belum tentu hasil filem terbaik, FDAM tengah cari 10 pengarah pelapis bawa Malaysia ke pentas dunia 

FDAM bakal mencari 10 pengarah pelapis.

PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London menyifatkan bajet besar bukan faktor utama menentukan kehebatan sesebuah filem.

Mat London, 73, sebaliknya berkata, perkara itu tidak menjadi ukuran sebaliknya kehebatan sesebuah karya itu boleh dinilai daripada mesej yang cuba disampaikan kepada penonton.

"Filem terbaik, bajet bukan ukuran. Lihat sahaja Split Gravy yang memenangi trofi Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) baru-baru ini.

"Bajet mereka tidak besar tapi kenapa mereka diangkat sebagai pemenang? Sebab filem itu mempunyai nilai-nilai murni dan peradaban wajah kita yang diketengahkan," katanya kepada mStar.

fdam1 - 1

Mat London selaku presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Mat London berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Sembang Santai FDAM bersama Media yang diadakan di Flamingo Hotel by the lake, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, Mat London menjelaskan, FDAM dalam perancangan untuk melahirkan 10 pengarah yang kompeten untuk membawa industri perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pameran rumah hantu untuk beri ilmu tentang filem seram, FDAM sedia 'telanjangkan' Idham

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 2 tahun industri seni lumpuh, bajet RM177 juta daripada kerajaan bagai kejutan

Kata Mat London, di Malaysia sendiri sebenarnya mempunyai ramai pengarah berbakat namun tidak ada berkebolehan untuk bersaing di luar negara.

"Setakat ini, kita tidak ada satu pun pengarah terbaik di Malaysia. Ramai yang berbakat, namun tiada pengarah yang kompeten (cekap).

Untuk menghasilkan filem terbaik, bajet bukan menjadi ukuran.

MAT LONDON

PRESIDEN FDAM

"Kita mahukan pengarah yang boleh merentas sempadan dan berjaya di luar negara," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Mat London memberitahu FDAM akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk melahirkan pengarah terbaik.

Program tersebut akan dilancarkan pada Januari 2023 dan mereka akan menjelajah ke enam zon di seluruh negara.

fdam2 - 1

Mat London komited mahu mencari bakal pengarah terbaik.

Penyertaan terbuka kepada individu berusia 18 hingga 35 tahun dan peserta perlu menghasilkan sebuah filem pendek.

"Kriteria yang kami cari adalah mereka yang berusia dalam kalangan 18 tahun ke 35 tahun. Kami akan berikan masa selama sebulan untuk mereka menghasilkan filem pendek.

"Peserta yang terpilih akan diberikan latihan khusus berkaitan dunia pengarahan dan diberi dana bantuan daripada Finas," tambahnya.

Selain pencarian 10 pengarah pelapis, FDAM juga bakal melancarkan tiga inisiatif lain termasuk program penghargaan filem, wacana dan kursus kesan khas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain