suria

Ahmad Idham, Eizlan tak janji ‘bulan dan bintang’, Jurey mahu wujudkan floating market di Lenggong jika menang PRU15

Jurey (kiri), Eizlan Yusof dan Ahmad Idham calon PRU15.

SELEBRITI dan penggiat seni yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah bersedia memberikan khidmat kepada masyarakat sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Pengarah dan pelakon Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bertanding di Parlimen Port Dickson mewakili parti Gabungan Tanah Air (GTA) di bawah parti Pejuang akan berpegang kepada prinsip 'biar kerja berbicara' kerana tidak mahu menjanjikan 'bulan dan bintang' kepada rakyat.

"Terlalu awal sebenarnya untuk saya menyatakan manifesto bagi PRU15 kerana saya masih belum kenal pasti masalah rakyat di Port Dickson.

"Tetapi sebagai ahli NGO, saya akan teruskan kerja-kerja yang sudah saya lakukan sebelum ini seperti mendapatkan hak pendidikan bagi golongan khas," katanya kepada mStar.

idham2 - 1

Idham tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang.

Ahmad Idham berkata, selain hak pendidikan golongan khas, dia juga akan memberi fokus kepada isu kemudahan awam, masalah usahawan kecil yang berniaga di kawasan pantai dan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Port Dickson.

Kerusi Parlimen Port Dickson menyaksikan saingan empat penjuru iaitu Ahmad Idham (GTA-Pejuang), Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk P. Kamalanathan (Barisan Nasional) dan Rafie Mustapha (Perikatan Nasional).

Dalam pada itu, seorang lagi calon GTA-Pejuang, Datuk Seri Eizlan Yusof yang bertanding di Parlimen Sabak Bernam berharap dapat mewujudkan jawatankuasa komuniti untuk rakyat meluahkan segala masalah mereka sekiranya terpilih mewakili rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Eizlan, Ahmad Idham antara 5 selebriti bakal rebut jawatan wakil rakyat

ARTIKEL BERKAITAN: Azwan Ali buat ‘U-turn’, tarik diri jadi calon PRU15... - "Mak datang dalam mimpi saya nasihat jangan bertanding"

Seperti Ahmad Idham, Eizlan juga tidak mahu memberi janji-janji kosong kepada rakyat sebaliknya merasakan suara mereka lebih penting untuk di bawa ke Parlimen.

"Kalau saya bagi epal tapi rakyat nak pisang, itu tidak adil buat mereka. Jadi lebih baik saya tahu apa yang mereka mahu dan saya akan angkat isu berkenaan ke Parlimen," katanya.

Eizlan hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam selepas menyelesaikan babak terakhir penggambaran filem Kerambit pada pagi Sabtu.

Parlimen Sabak Bernam bakal menyaksikan Eizlan akan bertembung dengan tiga lagi calon iaitu Shamsul Maarif Ismail (Parti Amanah Negara), Datuk Abd Rahman Bakri (Barisan Nasional) dan Kalam Salan (Perikatan Nasional).

Sementara itu penerbit dan pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli yang turut bertanding di Parlimen Lenggong, Perak mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjanji akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda.

pru1 - 1

Eizlan ketika sesi penamaan calon pagi tadi.

Ini termasuk menyediakan biasiswa kepada golongan asnaf dan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dan mewujudkan kemudahan pusat internet di setiap kampung.

Tidak hanya itu, melihat Lenggong sebagai kawasan berpotensi sebagai tempat pelancongan, Jurey mahu menarik lebih banyak pelabur dalam dan luar negara di kawasan berkenaan.

"Lenggong diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO sejak 2012 dan sepatutnya kita dapat menarik lebih ramai pelancong ke sini.

"Banyak perancangan yang ingin saya buat di Lenggong terutamanya meningkatkan industri pelancongan sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Parlimen Lenggong pula memperlihatkan Jurey berentap dengan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Barisan Nasional) dan Muhamad Rif'aat Razman (PN-PAS).

pru2 - 1

Jurey mewakili PKR di Parlimen Lenggong.

PRU15 akan diadakan pada 19 November ini.

Susulan Hari Penamaan Calon yang dibuat pada Sabtu, berikut adalah senarai manifesto oleh tiga calon bertanding ini sekiranya memenangi kerusi yang dipertandingkan.

A. Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri

1. Mendapatkan hak pendidikan kepada golongan khas, iaitu sistem pendidikan lebih sistematik dan sempurna.

2. Menyelesaikan masalah kemudahan awam, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti seperti yang diadu oleh rakyat.

3. Menyelesaikan masalah peniaga-peniaga awam yang berniaga di kawasan pantai, terutamanya tentang isu ‘khemah biru’.

4. Merancakkan aktiviti pelancongan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

B. Datuk Seri Eizlan Yusof

1. Mewujudkan jawatankuasa komuniti bagi membolehkan rakyat meluahkan masalah dan keperluan untuk di bawa ke Parlimen.

C. Datuk Jurey Latiff Rosley

1. Menarik pelabur berpotensi dalam dan luar negara untuk merancakkan aktiviti pelancongan di Lenggong, Perak dan mewujudkan floating market di Tasik Raban.

2. Mewujudkan biasiswa kepada golongan asnaf dan pelajar dengan keputusan cemerlang.

3. Mewujudkan kemudahan pusat internet di setiap kampung, penambahbaikan sistem pengangkutan serta meningkatkan infrastruktur lain di Lenggong

4. Membina Lenggong Film Studio sebagai platform penggambaran sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan.

5. Membina pintu gerbang Lenggong World Heritage Site UNESCO di sempadan daerah Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik.

6. Membina rumah kebajikan 'Rumah Kasih Halimah' bagi warga emas, orang kurang upaya dan yang tidak berkemampuan serta menyediakan pengangkutan untuk golongan tua dan fakir miskin bagi mendapatkan rawatan di klinik dan hospital.

7. Mewujudkan perumahan mesra rakyat untuk penduduk yang belum memiliki rumah sendiri.

8. Membina tangki simpanan air bersih lebih besar bagi kegunaan penduduk Lenggong serta mewujudkan talian kasih hotilme di pejabat ahli Parlimen.

9. Membina pusat pelancongan kesihatan

10. Menyediakan peruntukan untuk baik pulih rumah Melayu klasik di setiap kampung sebagai daya tarikan pelancongan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain