suria

Perjuangan Pat Candy terhenti di minggu kelima GV9, Jaclyn Victor sekali lagi dapat markah tertinggi

Pat Candy tersingkir di minggu kelima Gegar Vaganza musim kesembilan.

PERJUANGAN penyanyi Pat Candy dalam program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) terhenti di minggu kelima yang berlangsung pada malam Ahad.

Pat yang tampil dengan persembahan duet bersama Aepul Roza menerusi lagu Babak Pertama hanya mendapat markah sebanyak 58.40 peratus yang menyebabkan dirinya tersingkir.

Pada persembahan minggu lalu, Pat atau Nurul Nadhira Patricia Robert, 48, turut mendapat markah terendah namun terselamat apabila tiada penyingkiran dibuat.

Juri tetap, Datuk Ramli MS memberitahu persembahan duet berkenaan kurang bertenaga selain penyanyi jemputan lebih menyerlah berbanding dirinya.

GV9 Pat

Minggu lalu Pat terselamat apabila tiada penyingkiran.

Katanya lagi, persembahan Pat mungkin akan jadi lebih baik sekiranya dia berduet dengan penyanyi wanita menerusi lagu berkenaan.

"Aepul lebih dominan dan bertenaga dalam persembahan ini. Pat kurang menyerlah apabila masuk key rendah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Pat Candy lebih terbuka kongsi kisah 2 anak autisme, tumpuan pada keluarga punca menghilang

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian Pat Candy ‘flat’ tapi selamat, minggu keempat Gegar Vaganza 9 tiada penyingkiran

Sementara itu, Jaclyn Victor sekali lagi mengungguli kedudukan pertama dengan markah 92.40 peratus diikuti Shila Amzah (82.20) dan Fuad Rahman (81.70) di tempat ketiga minggu ini.

Dengan penyingkiran Pat, tujuh peserta lain yang mara ke minggu berikutnya adalah Bob Yusof, Tomok, VE, Hazrul Nizam, Dina Nadzir dan Asheed Def Gab C.

Dalam pada itu, Hazrul Nizam muncul sebagai pemenang Anugerah Next Level Digi manakala Bob Yusof menerima Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak.

Jac

Jaclyn sekali lagi mendahului semua peserta dengan markah tertinggi.

Anugerah Bintang Memukau Adabi pula milik Jaclyn Victor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta produk Adabi bernilai RM500.

Selain Ramli, GV9 turut menampilkan Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang sebagai juri tetap.

Program itu dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein.

Gegar Vaganza berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MSA) dan turut disiarkan menerusi Astro Ria (104), Ria HD (123) setiap Ahad, pukul 9 malam.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain