suria

Disangka strok, rupanya insulin dalam badan kosong... Ako Mustapha semakin stabil selepas 24 jam dikejarkan ke hospital

Terlepas ambil ubat antara punca kandungan insulin dalam badan Ako menurun.

AKTOR Ako Mustapha dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disangka mengalami serangan angin ahmar pada pagi Khamis.

Isteri Ako, Kartina Shuaib memberitahu ketika bangun tidur, wajah suaminya kelihatan senget yang membuatkan dia segera menelefon ambulans untuk dibawa ke hospital.

"Saya tidak tahu dia tidak mengambil ubat kerana bertugas di luar kawasan sejak seminggu lalu. Apabila tiba di rumah pada pagi semalam (Khamis) saya lihat raut wajahnya berubah.

ako 2

Kartina berkongsi keadaan Ako kini semakin stabil.

"Saya cadang pergi ke hospital tetapi suami enggan. Selepas bangun tidur, mukanya pula menjadi senget dan saya terus menghubungi ambulans dan Ako terus dibawa ke HKL," katanya ketika dihubungi mStar.

Bercakap lanjut mengenai keadaan Ako, 51, Kartina memberitahu dia berasa lega apabila doktor mengesahkan Ako bukan diserang angin ahmar.

Sebaliknya, ketiadaan insulin di dalam badannya menyebabkan saraf serta otot tidak dapat berfungsi sehingga menyebabkan wajahnya menjadi herot.

ARTIKEL BERKAITAN: Paras oksigen anak menurun, Amyra Rosli dipanggil segera ke hospital

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja tanpa henti, doktor tahan Adam Lee di hospital kerana kepenatan

Menurut Kartina, Ako mula menghidap penyakit diabetes sejak 2016 namun keadaannya ketika itu tidak serius sehinggalah baru-baru tahap kesihatannya kurang memberangsangkan.

Doktor yang memantau keadaannya turut mendapatkan sejarah kesihatan serta diet pemakanan bagi mengenal pasti punca berlakunya keadaan itu.

"Ako mula menghidap diabetes sejak 2016 namun hanya makan ubat sekitar tiga tahun lalu. Awalnya tidak begitu teruk, cuma kebelakangan ini kesihatan dia menurun mungkin kerana sering terlepas makan ubat.

Awalnya tidak begitu teruk, cuma kebelakangan ini kesihatan dia menurun mungkin kerana sering terlepas makan ubat

KARTINA SHUAIB

"Doktor banyak bertanya tentang sejarah kesihatan dan pemakanannya sebelum ini bagi mencari punca mengapa kesihatannya tiba-tiba merosot semalam," ujarnya.

Sementara itu, selepas 24 jam mendapatkan rawatan di hospital, Kartina memberitahu Ako semakin stabil namun masih di bawah pemantauan doktor di wad pengasingan di HKL.

ako 3

Ako bersama isteri dan anak-anak.

Malah katanya, Ako sudah boleh bercakap berbanding keadaan ketika dia mula dibawa ke hospital.

"Syukur dia sekarang sudah stabil dan boleh bercakap. Sekarang masih di wad pengasingan untuk pemantauan. Saya sendiri tidak boleh melawat," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain