suria

Bakal tampil dengan 10 persalinan di malam konsert, Aina Abdul Janji jaga sensitiviti!

Aina lebih peka dan menjaga sensitiviti dalam berfesyen.

SERING dikritik sebelum ini kerana tampil dengan fesyen yang keterlaluan, penyanyi Aina Abdul berjanji akan lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti ketika membuat persembahanan di konsert A Night With Aina Abdul 2.0 (ANWAA 2.0).

Masih mengekalkan identitinya yang suka berfesyen, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Gani, 29, bagaimanapun mengambil saranan orang ramai sebelum ini supaya tidak lagi timbul sebarang isu dalam dua hari konsert berlangsung.

“Setiap malam konsert ANWAA 2.0, saya akan pakai busana berbeza. Saya bakal memperagakan sepuluh persalinan busana hasil ciptaan pereka fesyen tempatan.

aina abdul 2

Aina masih kekalkan identitinya yang suka berfesyen ketika membuat persembahan.

"Saya tetap mengekalkan identiti Aina Abdul iaitu berani bereksperimen dalam berfesyen, tetapi saya mengambil kira saranan orang ramai dan akan menjaga sensitiviti agar tidak terkait isu panas.

"Baju yang saya gayakan mempunyai maksud tersendiri dan ada juga bersifat ekstravaganza seperti yang selalu saya pakai. Tunggu dan lihat hasilnya nanti, saya memang tak sabar," katanya.

Antara pereka fesyen yang menjadi pilihan Aina untuk dua malam konsert tersebut adalah Melinda Looi, Zaimi Zulkafli, Rizman Ruzaini, Tsyahmi, Wan & Mary, Behati, Khuntumn dan Masyadi Mansoor.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai ‘complain’ tiket konsert mahal, Aina Abdul ada sebab letak harga... Yakin penonton terkejut tengok fesyen malam itu

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi fesyen pelik, Aina Abdul mahu fokus susunan muzik AJL36

Bercakap tentang persiapan konsert yang bakal menjelang beberapa hari, Aina meluahkan rasa syukur kerana semuanya berjalan lancar.

Bukan sekadar mahu menyanyi dan menghiburkan, Aina juga berharap penonton dapat menghayati apa yang ingin disampaikan nanti.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Konsert ini menjadi tanda usaha gigih saya dan team Aina Abdul Entertainment untuk memberikan sesuatu untuk peminat.

Saya tetap mengekalkan identiti Aina Abdul iaitu berani bereksperimen dalam berfesyen, tetapi saya mengambil kira saranan orang ramai dan akan menjaga sensitiviti agar tidak terkait isu panas

AINA ABDUL

PENYANYI

"Kalau boleh pada malam konsert, saya nak penonton sama-sama menghayati apa yang saya cuba sampaikan, sama-sama menangis, ketawa dan menyanyi.

"Saya mahu semua puas menyaksikan ANWAA 2.0 dan saya memohon doa semua peminat agar perjalan konsert selama dua malam dipermudahkan, Insya-Allah," ujarnya.

Sementara itu, dalam keterujaan Aina juga turut gementar kerana difahamkan beberapa artis terkenal tanah air bakal seperti Ziana Zain, Anuar Zain, Ella, Datuk Nora, Datuk Hattan dan Hael Husaini akan hadir menyaksikan konsert itu nanti.

aina abdul 3

Giat jalani latihan untuk kepuasan peminat ketika konsert.

Konsert yang berlangsung pada 25 dan 26 Jun di Istana Budaya, Kuala Lumpur itu nanti juga adalah satu penghargaan buat peminat yang telah menyokong kerjaya seninga selama ini.

“Apa yang membuatkan saya lebih teruja dan gementar adalah selain peminat yang sudah mendapatkan tiket menyaksikan konsert ini, pengurus saya memaklumkan ramai selebriti terkenal dan berpengalaman bakal menghadiri konsert ini.

“Konsert ini adalah untuk kita semua menghargai diri sendiri dan saya akan menghadiahkan segala anugerah yang Tuhan berikan,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain