suria

Peguam tegur drama ‘Suamiku Lelaki Pendosa’ kelirukan penonton, salah letak hukum anak tak sah taraf... Cahaya Malaika anak Firdaus!

Isu status anak tidak sah taraf dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa mendapat perhatian penonton

SELEPAS kontroversi isu lelaki bernafsu songsang, drama Suamiku Lelaki Pendosa hangat terus dikritik apabila hukum berkaitan anak tak sah taraf yang dipaparkan dalam karya berkenaan dikatakan mengelirukan masyarakat.

Tampil menegur kelemahan berkenaan, peguam syarie Fahmi Ramli, 32, berkata, penulis skrip dan pengarah seharusnya membuat kajian terlebih dahulu agar tidak menimbulkan keraguan kepada penonton.

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi polis atau gay? Anak Aaron Aziz terbuka dapat tahu bapa berlakon watak songsang

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau lakonan macam kayu, kenapa saya dipilih produser?” - Sophia Barakbah tepis tuduhan guna 'cable' untuk jadi pelakon

“Saya mohon secara tegas isu ini tidak diambil mudah. Berapa ramai yang menonton drama ini mendapat info yang salah gara-gara skrip yang tidak dikaji.

"Saya hairan bagaimana drama yang dikatakan sudah disemak oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh terlepas pandang isu sebegini. Kalau saya salah, buktikan secara sah ikut undang-undang dalam syarak.

“Penonton akan keliru dan sukar untuk saya bayangkan apabila ramai yang akan terpesong apabila mengambil pengajaran daripada drama sebegini," ujarnya ketika dihubungi mStar.

fahmi 11

Fahmi beri nasihat agar setiap penulisan berkaitan hukum agama harus mendapat rujukan pakar

Terdahulu, dalam dua perkongsian di Facebook miliknya, Fahmi berkongsi secara terperinci tentang hukum dalam meletakkan status anak tidak sah taraf.

Menurut Fahmi, watak Cahaya Malaika yang dilakonkan oleh Sophia Barakbah bukanlah anak tidak sah taraf kerana dia dilahirkan oleh ibunya dalam tempoh perkahwinan.

Dalam salah satu episod drama terbabit, muncul watak Datuk Afnan lakonan Edika Yusof yang mengaku bapa kandung kepada Cahaya kerana pernah menjalinkan hubungan dengan ibu Cahaya.

Penonton akan keliru dan sukar untuk saya bayangkan apabila ramai yang akan terpesong apabila mengambil pengajaran daripada drama sebegini

FAHMI RAMLI

PEGUAM SYARIE

Dalam kes ini Cahaya masih anak sah kepada watak Firdaus (Fauzi Nawawi) yang berkahwin dengan Wahida (Aleza Shadan) ketika wanita itu sedang hamil.

Sementara itu, sebagai seorang peguam syarie juga, Fahmi menasihatkan sesiapa sahaja yang mahu menulis karya atau sebarang bentuk penulisan berkaitan hukum Islam haruslah mendapat pandangan dan nasihat pakar.

"Kepada sesiapa sahaja yang menerbitkan karya penulisan atau penyiaran, saya nasihatkan supaya rujuk dahulu kepada yang pakar apabila bercerita tentang hukum Islam.

"Jika isu sebegini salah diterjemahkan, ia akan menjadi rujukan kepada penonton.

"Saya juga terbuka untuk berkongsi pendapat dengan ilmu yang saya ada supaya orang cakna tentang hukum yang sebenarnya," jelasnya.

Sebelum ini, Suamiku Lelaki Pendosa ditegur ustazah Asmak Husin yang berpendapat drama tersebut berunsur negatif dan tidak wajar di tayangkan gara-gara memaparkan hubungan percintaan kaum sejenis.

Drama Suamiku Lelaki Pendosa ditayangkan di slot Samarinda TV3 pukul 10 malam setiap Isnin hingga Khamis.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain