suria

Tegar Septian wakil Indonesia antara 11 peserta Big Stage 2022

Tegar mewakili peserta dari Indonesia bakal bersaing di pentas Big Stage 2022.

PROGRAM nyanyian yang menampilkan bakat-bakat baharu atau digelar Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) iaitu Big Stage kembali untuk musim keempat.

Big Stage 2022 yang bakal bersiaran selama lapan minggu akan menyaksikan persaingan sengit antara 11 bintang utama yang mewakili tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Seramai sembilan BBNU dari Malaysia telah terpilih untuk beraksi di pentas Big Stage 2022 dengan penyertaan dua bintang lain dari Brunei dan Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlu perbaiki vokal dan 'feel', perjalanan Amir Hasan di Big Stage 2020 terhenti

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada identiti punca Yamani Abdillah tersingkir Big Stage 2020 - “Kasihan orang asyik bandingkan awak dengan bapa”

Lima bintang wanita yang bakal berentap untuk musim ini ialah Aisha Retno, Elica Paujin, Lia Aziz, Yazmin Aziz dan Sofiaa Marieylla.

Manakala enam bintang lelaki pula adalah terdiri daripada Megat Rahim, Ajoi Zainal, Danial Chuer, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia).

gempak

Barisan peserta yang bakal bertanding di Big Stage 2022. Foto Gempak

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, Astro amat gembira melihat kebangkitan semula dunia seni hiburan yang kembali rancak meskipun kemelut pandemik masih lagi belum berkesudahan sehingga ke hari ini.

“Sambutan hangat dan sentimen positif terhadap penganjuran program realiti Gegar Vaganza di platform Astro Ria yang bakal melabuhkan tirainya pada hujung minggu ini dilihat sebagai penanda aras serta pemangkin semangat buat kami untuk terus menganjurkan sebuah lagi pertandingan berskala besar yang bertaraf tinggi walaupun dalam keadaan serba mencabar demi komitmen kepada pelanggan Astro yang tidak pernah berhenti menyokong kami selama ini.

“Menerusi Big Stage 2022, kami sekali lagi membuka ruang perkongsian kreatif khusus buat generasi BBNU di peringkat serumpun untuk mengembangkan bakat dan potensi diri.

“Oleh itu, setiap peserta perlu bijak merebut peluang yang ada untuk beraksi dengan cemerlang di pentas komersial secara live seumpama ini kerana ia mampu memberi anjakan kepada prestasi dan hayat seni mereka,” katanya.

Big Stage 2022 masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pemarkahan oleh barisan panel juri dan undian peminat secara online.

Untuk bahagian pertama, 100 peratus keputusan ditentukan oleh panel juri yang akan menilai para bintang berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sewaktu persembahan mingguan.

Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan berdasarkan undian peminat secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.

Bintang yang mendapat undian terendah akan disingkirkan.

Bagi menyuntik pembaharuan segar agar lebih telus, buat pertama kalinya proses pemberian markah oleh panel juri akan dibuat secara langsung atau live marking yang mana setiap pemarkahan akan tertera di skrin LED untuk tontonan umum.

Dalam pada itu, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan komposer terkenal, Ajai mengambil tugas sebagai juri tetap.

big stage2

Ajai dan Siti Nurhaliza dilantik sebagai juri tetap. Foto Gempak

Manakala, Alif Satar dan Sherry Al Hadad masih lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku pengacara.

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro.

Pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Big Stage 2022 bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Untuk rekod, Sarah Suhairi merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama pada tahun 2018.

Juara musim kedua (2019) pula menjadi milik bintang dari Korea Selatan iaitu Han Byul

dan Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain