suria

Tiada identiti punca Yamani Abdillah tersingkir Big Stage 2020 - “Kasihan orang asyik bandingkan awak dengan bapa”

PERSEMBAHAN Yamani menerusi lagu Mimpi Laila gagal menarik perhatian juri.

NAMPAKNYA perjalanan penyanyi Yamani Abdillah dalam Big Stage 2020 terhenti apabila dia menjadi peserta ketiga yang tersingkir daripada program ini menerusi konsert minggu keempat yang berlangsung pada Ahad malam.

Anak kepada penyanyi Jamal Abdillah yang menyanyikan lagu Mimpi Laila itu tersingkir selepas menerima sebanyak 62 markah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sandra Dianne kritikal dalam ICU, masih tak sedarkan diri - “Dia sendiri pandu kereta ditemani sepupu”

Menurut juri tetap iaitu penyanyi Dayang Nurfaizah, meskipun nyanyian Yamani baik namun dia perlu mencari identitinya sendiri memandangkan segelintir pihak gemar membandingkan antara dia dan bapanya.

“Sebenarnya nyanyian awak bagus dan baik tapi mungkin dalam keadaan teruja sambil nak menari, vokal jadi off pula. Setelah empat minggu saya dengar, awak ada warna suara tersendiri.



Lapan peserta yang akan meneruskan saingan dalam Big Stage 2020.

“Tetapi awak kena cari identiti sendiri yang masih tak nampak. Saya kasihan juga orang asyik bandingkan awak dengan bapa, ” kata Dayang.

Dalam saingan kali ini, penyanyi Usop menerima markah tertinggi iaitu sebanyak 86.2 peratus, diikuti oleh Fadh Majid (78.6) dan Azzam Sham (75.2).

Peserta lain yang turut layak ke minggu seterusnya ialah Hafiz Zainal, Dinie Rashid, Qody Rany, Fadh Majid dan Nana Sheme.

Bagaimanapun seorang lagi peserta iaitu Sandra Dianne tidak dapat meneruskan persembahan minggu keempat berikutan terlibat dalam kemalangan pada petang, Sabtu.

Pihak Astro memberi pengecualian tersebut sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan berdasarkan keadaan Sandra selepas ini.

Kesemua peserta diadili oleh tiga juri tetap iaitu Dayang Nurfaizah, Ajai serta Faizal Tahir manakala penyanyi rap Flizzow sebagai juri jemputan.

Penyanyi dan pelakon terkenal Elly Mazlein pula menjalankan tugas sebagai presiden netizen pada minggu ini.

Big Stage dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad dan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Juara Big Stage akan memenangi wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro dan pemenang tempat kedua serta ketiga pula bakal membawa pulang wang RM50,000 dan RM25,000 serta trofi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain