suria

Undian awal Zul Ariffin, Remy Ishak, Zizan Razak terbatal gara-gara tarik diri, nama tiada dalam Top5 ABPH34

Tiga pelakon termasuk YouTuber, Zukie Mohamad (kanan sekali) umum tarik diri pencalonan awal ABPBH34.

EMPAT selebriti terkenal iaitu Zul Ariffin, Remy Ishak, Zizak Razak dan Zukie yang menarik diri daripada pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) tidak akan disenarai dalam Top5 ABPBH34.

Menurut Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian (BH) Shamshul Azree Samshir pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penarikan diri tersebut dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Zul Ariffin, Remy Ishak... kali ini Zizan Razak pula umum tarik diri ABPBH - “Saya akan sokong dari luar gelanggang”

ARTIKEL BERKAITAN: Remy Ishak pula tarik diri ABPBH, sedar kurang berlakon tahun lalu - “Berikan kepada yang layak”

"Kami ambil maklum mengenai sebab-sebab penarikan diri mereka, dan akan mengambil langkah-langkah penambahbaikan yang sesuai bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang, demi memastikan acara tahunan ini mampu menyumbang dengan lebih efektif dalam memartabatkan lagi industri kreatif tanah air.

"Lebih penting memberi peluang pekerjaan kepada petugas belakang tabir sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran edisi ke-34 ABPBH ini dapat diteruskan atas semangat kekitaan sesuai dengan tema tahun ini #KITABERSAMA," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar.

abpbh 34 1

Zul Ariffin selebriti pertama umum tarik diri ABPBH34.

Dalam pada itu, Shamshul berkata, penganjuran ABPBH34 dijangka bakal merancakkan kembali industri hiburan tanah air selepas berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Malah, ia turut memberi peluang kepada peminat-peminat menunjukkan kesetiaan kepada artis-artis kesayangan mereka.

"Industri kreatif tempatan runtuh sejak pandemik COVID-19 melanda negara lebih 18 bulan lalu. Namun, kita lihat kesetiaan dan sokongan peminat terhadap penggiat seni terus utuh. Tidak keterlaluan jika dianggap peminat adalah penyelamat kepada kelangsungan dunia hiburan yang perlahan-lahan bangkit semula susulan kelonggaran diberi kerajaan kepada penggiat industri kreatif, baru-baru ini.

Peminat adalah penyelamat kepada kelangsungan dunia hiburan yang perlahan-lahan bangkit semula susulan kelonggaran diberi kerajaan!

Shamshul Azree Samshir

PENGANJUR ABPBH34

"Sehubungan itu, ABPBH mahu terus menyemarakkan industri kreatif dengan menyantuni sokongan diberi peminat terhadap penggiat seni termasuk artis yang tercalon dalam pusingan awal dan akhir ABPBH34," katanya.

Sebelum ini, tiga artis solo iaitu Zizak Razak, Remy Ishak dan Zul Ariffin serta seorang bintang YouTube iaitu Zukie Mohamad mengumumkan menarik diri daripada pencalonan awal ABPBH34.

Pelawak Zizan Razak tersenarai bagi kategori utama Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan kategori online Gandingan Serasi Filem Popular.

Zul Ariffin pula tercalon kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular dan pencalonan dalam kategori online Gandingan Serasi Drama Popular, manakala Remy Ishak bagi kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular dan kategori online Gandingan Serasi Drama Popular.

Sementara itu, Zukie pula bersaing bagi kategori Artis YouTuber Popular.

abpbh 2

Zizan mahu beri peluang kepada bakat baharu.

Justeru itu, Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 mengumumkan undian diperoleh empat calon awal tidak akan dikira, sekaligus nama mereka tidak disenaraikan dalam Top5 kategori berkenaan.

Bagaimanapun, undian diperoleh tiga artis terbabit untuk kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular tetap diambil kira atas faktor pencalonan adalah mengikut watak gandingan yang dibawa calon dalam drama atau filem kerana mahu berlaku adil kepada pasangan atau pelakon yang digandingkan dalam karya dipertandingkan.

Remy dan Zul sebelum ini menarik diri daripada pencalonan awal ABPBH34 kerana berpendapat tiada produk lakonan sepanjang tahun 2020.

Sementara itu, Zizan pula mahu memberi peluang kepada bakat baharu untuk bersaing dalam anugerah berprestij berkenaan.

Undian pusingan awal yang dilancarkan pada 10 September lalu, secara rasminya ditutup tepat pukul 11.59 malam Ahad.

Calon Top5 dalam setiap kategori utama dan online bakal diumumkan pada Ahad, 10 Oktober ini.

Keputusan akhir bagi semua kategori utama dan online bakal diumumkan pada malam kemuncak ABPBH34 yang akan diadakan pada 13 November depan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain