suria

Tony Spider meninggal dunia, ditemui terbaring atas sofa - “Arwah dah tiga tahun menetap di studio M.Nasir”

Tony Iskandar menghidap penyakit kencing manis.

BEKAS pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar ditemukan maut seorang diri di atas sofa di studio rakaman Luncai Emas milik komposer terkenal, Datuk M Nasir di Sungai Buloh, Selangor pada pukul 1 pagi Rabu.

Menurut Pengarah Produksi Luncai Emas, Mohd Khirin Omar atau lebih dikenali sebagai Keon, 57, mayat Allahyarham ditemukan ahli kumpulan Spider, Nafie yang kebetulan singgah di studio untuk mengambil barang.

ARTIKEL BERKAITAN: Spider Sentiasa Aktif, Tiada Istilah ‘Comeback’

"Arwah Tony memang dah tiga tahun menetap di studio, Datuk M Nasir sediakan satu bilik di situ untuk arwah berkarya.

"Kebetulan semalam Nafie ada singgah studio sebab nak ambil barang yang tertinggal. Selepas pintu diketuk dan tiada respons, terus dia buka pakai kunci spare dan jumpa arwah sudah tidak bernyawa di atas sofa.

Kumpulan Spider (dari kiri) Aie, Nafie, Tony dan Tam.

"Kemudian dia call ambulans dan pihak paramedik sahkan Allahyarham dah meninggal dunia lebih kurang empat jam sebelum ditemukan," katanya ketika dihubungi mStar.

Jenazah Tony kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan punca kematian masih lagi dalam siasatan.

Keon turut berkata, arwah mempunyai sejarah penyakit kencing manis kronik.

Selepas pintu diketuk dan tiada respon, terus dia buka pakai kunci spare dan jumpa arwah sudah tidak bernyawa di atas sofa.

KEON

PENGARAH PRODUKSI LUNCAI EMAS

"Arwah menghidap penyakit kencing manis agak teruk. Sekarang pihak Luncai Emas hanya menunggu panggilan daripada hospital untuk tujuan pengebumian dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Baru Sungai Buloh.

"Kami akan uruskan segalanya memandangkan adik-beradik arwah semua menetap di Johor Bahru," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Allahyarham Tony, 51, pernah mendirikan rumah tangga namun bercerai pada 2010 dan hasil perkahwinan dia tidak dikurniakan cahaya mata.



Gambar kenangan (dari kiri) Tam, Nafie dan Tony yang dirakam pada 2010.

Tony menganggotai Spider bersama Tam, Nafie dan Aie.

Tony kemudian menarik diri daripada kumpulan itu pada 2013 sebelum aktif sebagai komposer.

Spider cukup popular dengan lagu Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Laukku Cukup Masin.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain