suria

Konsert Digital Jelajah Suria tetap meriah dengan SOP ketat, berjaya tarik 300,000 tontonan secara maya

Dayang Nurfaizah dan Floor88 antara artis yang membuat persembahan di Konsert Digital Jelajah Suria.

KONSERT Digital Jelajah Suria yang diadakan secara maya pada malam, Rabu menerusi Facebook Suria FM, YouTube SuriaTV, aplikasi Suria Malaysia di frekuensi Suria FM, 105.3 FM di Lembah Klang berlangsung dengan meriah biarpun tanpa penonton.

Pengurus Kanan Suria FM iaitu DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid meluahkan rasa syukur konsert yang berdurasi selama dua jam itu berjalan dengan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali diadakan secara virtual, Konsert Digital Jelajah Suria gabungkan penyanyi legenda dan BBNU

Malah, DJ Lin yang juga penyampai radio Suria FM berharap konsert siri jelajah itu dapat diadakan lagi selepas ini.

“Alhamdulillah Konsert Digital Jelajah Suria sudah pun selesai dengan jaya dan semestinya kami dari team Suria berterima kasih kepada semua yang menonton dan memeriahkan konsert ini.

“Dari awal hinggalah berakhir, konsert ini berjalan dengan lancar mengikut dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Walaupun tanpa penonton tapi tetap meriah dan berjalan dengan lancar.

“Insya-Allah kalau ada rezeki dan dipanjangkan umur, kita akan dipertemukan lagi Konsert Digital Jelajah Suria 2, ” kata DJ Lin kepada mStar.



Lah Ahmad dan Iman Troye beri persembahan bertenaga.

Malam konsert tersebut dimeriahkan dengan persembahan hebat daripada barisan artis popular dan juga legenda seperti Datuk Awie, Lah Ahmad, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Haqiem Rusli, Iman Troye, Floor88, Masdo, Farisha Iris dan Bob Sentuhan.

Biarpun tiada penonton namun konsert tersebut tetap mendapat sambutan yang hangat dengan mendapat lebih 153,000 tontonan menerusi tiga medium itu.

Dalam pada itu, Suria FM juga turut melancarkan kempen Bantuan Tunai Suria yang menawarkan sebahagian daripada RM40,000 bermula 22 Mac hingga 9 April depan.

Kempen ini memberi peluang kepada pendengar bertuah memenangi wang tunai RM300 setiap hari dengan hanya memberikan kata laluan apabila dihubungi oleh penyampai Suria.

Pendengar yang ingin menyertai peraduan ini perlu mendaftarkan maklumat peribadi mereka dan lengkapkan ayat “Saya Mahu Bantuan Tunai Suria kerana...... (tidak lebih daripada 15 patah perkataan)” di laman web suria.my.

Pendengar terpilih akan dihubungi penyampai Suria yang bertugas dan perlu memberikan kata laluan yang dimuat naik di aplikasi Suria Malaysia 30 minit sebelum isyarat peraduan dikeudarakan.

Sekiranya pendengar terpilih gagal menjawab kata laluan yang betul atau tidak menjawab panggilan, wang tunai secara automatik akan digandakan pada segmen berikutnya.

Peraduan ini akan dijalankan di kesemua lima segmen utama Suria iaitu Team Pagi Suria, Gaya Suria, Muzik Top Suria Suria Petang dan Suria Cinta.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Suria jelajah.suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain