suria

Tuntutan permohonan maaf tidak dilayan, PPM ambil tindakan undang-undang terhadap Karyawan dan Freddie Fernandez - “Kenyataan fitnah itu menjatuhkan reputasi kami”

PPM ambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Karyawan dan Datuk Freddie Fernandez.

PUBLIC Performance Malaysia (PPM) mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan pengerusinya, Datuk Freddie Fernandez berikutan kenyataan fitnah berkaitan wang dana hasil kutipan royalti.

Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, tindakan itu dilakukan selepas Karyawan dan Freddie tidak menjawab Surat Tuntutan (Letter of Demand) yang menuntut mereka membuat permohonan maaf secara terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sheila... get out!” - Freddie Fernandez desak Sheila Majid letak jawatan, nak jumpa PM jika isu royalti tak selesai

"Adalah amat mengecewakan apabila Karyawan dan Freddie secara tidak sengaja dan berulang kali membuat dan mengakibatkan pengeluarkan artikel dan kenyataan yang tidak benar.

"Walaupun dia tahu kenyataan tersebut mampu menjatuhkan reputasi PPM sebagai badan pelesenan sah bagi ahli-ahlinya yang terdiri daripada syarikat-syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa.

"Kenyataan fitnah yang dibuat Karyawan dan Freddie telah mengakibatkan gangguan kepada aktiviti pelesenan kami dan menyukarkan lagi kerja kami untuk mengutip yuran pelesenan bagi pihak ahli-ahli kami dalam persekitaran pasaran yang amat mencabar," katanya.

Sebelum ini, pada Oktober lalu, Karyawan dan Freddie mendakwa terdapat penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti yang diterima daripada pengusaha industri di Malaysia bagi tujuan persembahan awam atau public performance di mana tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

Selain daripada mengambil tindakan sivil, PPM juga telah membuat laporan polis terhadap Karyawan dan Freddie Fernandez atas kesalahan jenayah fitnah serta membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan menyalahguna internet untuk menghasil dan menyebar komen serta berita palsu dengan niat untuk mengganggu PPM.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain