suria

Mula dikenali selepas ‘Big Stage 2020’, Farisha Iris tak terdesak untuk popular – “Ramai tak tahu saya boleh menyanyi”

Farisha akui mula meraih populariti selepas menyertai Big Stage 2020, tahun lalu.

PENYANYI Farisha Iris mengakui penyertaannya dalam program Big Stage 2020 sedikit sebanyak membantu menaikkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Menurut Farisha, 22, sebelum ini ramai menyangka dia seorang pengacara dan hanya mengetahui dia seorang penyanyi selepas mengikuti program realiti nyanyian budak-budak baru nak up (BBNU) itu.

“Program Big Stage 2020 adalah platform yang bagus untuk saya. Pada awalnya orang tak tahu saya boleh menyanyi. Ramai ingat saya hanya boleh mengacara sebab selama ini memang banyak terbabit dalam bidang pengacaraan.

ARTIKEL BERKAITAN: Farisha Iris tergores hati jawapan Azzam Sham dalam MeleTOP - “Mereka seperti gembira atas penyingkiran saya”

"Sejak dalam program itu secara perlahan-lahan penonton dan peminat mulai mengenali diri dan bakat saya. Malah, program itu juga menjadi medan untuk saya membuktikan bakat sebenar dengan mencabar diri menyanyikan lagu dari pelbagai genre.

"Walaupun saya tersingkir pada minggu separuh akhir, tapi ia bukan penamat kepada kerjaya saya. Sebaliknya, selepas keluar dari program itu saya sudah tahu ke mana hala tuju untuk pergi dan memberi fokus. Malah, saya mahu lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita," katanya.



Farisha mahu tunjuk bakat dan kebolehan diri.

Meskipun namanya kini mula dikenali, naib juara program Idola Kecil 4 ini berkata dia enggan terburu-buru mengejar populariti.

Ini kerana dia menyedari perjalanannya dalam industri ini masih panjang.

"Saya tak terlalu mengejar ke arah itu atau terdesak nak popular. Kalau popular itu datang, saya anggap ia rezeki. Saya akan terus berusaha dan percaya dengan usaha gigih, kejayaan akan dapat dicapai.

Kalau nak cakap genre yang diminati, diakui saya sukakan lagu balada kerana membesar dengan lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza!

FARISHA IRIS

PENYANYI

"Lagi pula macam sekarang saya ada komitmen lain dibuat iaitu menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di UiTM, Shah Alam. Jadi, dalam masa sama memang kena fokus belajar juga," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Farisha bakal muncul dengan single baharu berjudul Hello yang dicipta oleh komposer terkenal Audi Mok dan Shazee Ishak manakala lirik ditulis oleh Arisz Ab Rahman.

"Alhamdulillah, ini adalah single keempat saya. Sekali lagi saya merakamkan lagu berentak pop sama seperti single sebelum ini. Apa saya perasan, peminat sekarang pun sukakan genre pop.



Farisha mahu pelbagaikan genre nyanyian.

"Kalau nak cakap genre yang diminati, diakui saya sukakan lagu balada kerana membesar dengan lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza. Secara tak langsung ia mempengaruhi minat saya tetapi apabila saya merakamkan lagu ternyata rakaman lagu pop menjadi genre yang dikaitkan dengan diri saya.

"Kebetulan pula dari dulu sehingga sekarang, memang selalu dapat lagu bergenre pop, jadi saya anggap mungkin komposer dan penerbit berasakan vokal saya lebih sesuai dan kena dengan lagu pop. InsyaAllah, kalau ada peluang dan rezeki lain, saya mahu mencuba merakamkan lagu balada pula selepas ini," katanya.

Istimewanya lagu ini juga menjadi lagu tema bagi drama rantaian Hello, Jangan Tapau Cintaku yang bakal ditayangkan di slot Lestary, TV3 tidak lama lagi. Drama terbitan Mache All Star United ini dibintangi Nafiz Muaz, Elisya Sandha dan Eyka Farhana.

Hello bakal dilancarkan di semua platform digital pada Jumaat dan video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain