suria

Foto pegang anjing dikecam netizen, To’ki hanya tolong hantar ke klinik veterinar - “Saya bukan bercium-ciuman dengan anjing tu”

To'ki berharap isu dirinya memegang anjing tidak dipanjang-panjangkan.

GARA-GARA memuat naik 10 keping foto memperlihatkan dia memegang anjing, penyanyi era 90-an To’ki menerima kecaman netizen di laman sosial.

To’ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur, 53, menjelaskan dia hanya membawa anjing milik kawannya untuk mendapatkan rawatan di klinik veterinar.

ARTIKEL BERKAITAN: To’ki akhirnya pindah rumah baharu, tak perlu bayar sewa setahun

Bagaimanapun, penyanyi lagu Seni Berzaman itu memohon maaf dan berharap orang ramai berhenti menghukum dirinya.

"Saya menyusun 10 jari memohon maaf kepada semua yang tengok gambar itu dan terima kasih atas teguran membina yang diberikan.

"Soal sentuh anjing ini usahlah kita panjang-panjangkan. Saya bukan bercium-ciuman dengan anjing itu... saya masih tahu batas.

Dari sudut syariat Islam pun tidak salah untuk saya pegang anjing.

TO'KI

PENYANYI

“Anjing itu bukan anjing peliharaan, itu anjing untuk memburu milik kawan saya dan saya hanya tolong hantar ke klinik, ” katanya kepada mStar.

To'ki turut meminta netizen agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan seseorang itu sebagai kafir gara-gara hanya memegang haiwan berkenaan.

Gambar To'ki memegang anjing menerima kecaman netizen.

Katanya, haiwan itu juga makhluk Allah yang harus dilayan dengan sebaik mungkin oleh setiap insan di muka bumi ini.

"Tolong jangan jadi jumud atau terlampau kolot dengan menganggap orang itu kafir (kalau dia pegang anjing). Saya boleh basuh dengan air tanah dan air mutlak (untuk tujuan sertu).

"Dari sudut syariat Islam pun tidak salah untuk saya pegang anjing.

"Jangan kita menuduh itu ini, cuba kaji balik sejarah Islam dan fahami Islam secara syumul," katanya.

Terdahulu, gambar To’ki bersama isteri, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, memegang seekor anjing berwarna hitam menjadi tular di laman sosial.

Perbuatannya itu mendapat kecaman ramai netizen yang menganggap dirinya tidak sensitif dengan hukum-hakam Islam selain bimbang tindakan itu akan menimbulkan fitnah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

To'ki, penyanyi, pegang anjing, islam

Artikel Lain