suria

“Mereka tak faham... berapa ramai pekerja belakang tabir nak sara keluarga” - Isu boikot program hiburan, Nabil Ahmad minta netizen fikir secara matang

Nabil minta netizen fikirkan mengenai nasib pekerja belakang tabir jika program hiburan diboikot.

KEPUTUSAN stesen televisyen meneruskan beberapa program hiburan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Segelintir mereka melancarkan kempen boikot di media sosial dan menggesa kerajaan menghentikan kesemua program hiburan kerana dianggap tidak berfaedah ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Menyedari perkara itu, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad meminta netizen berfikir secara matang dan tidak terpengaruh dengan emosi semasa memberikan pandangan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau dah best buat apa nak tukar?” - Nabil Ahmad anggap tukar pengacara satu risiko

“Saya baca semua komen tu... saya hormati pandangan semua kerana masing-masing ada pendapat sendiri dan saya sebagai pengacara pun bekerja, dibayar oleh stesen.

“Mereka yang nak boikot dan berharap program TV ini dihentikan pernah fikir tak berapa ramai orang akan hilang sumber pendapatan... kru produksi, abang-abang prop, jurukamera akan terkesan akibat tiada pekerjaan, anak bini dan keluarga mereka siapa nak tanggung?



Nabil dan Jihan Muse diberi tanggungjawab mengacarakan program Gegar Vaganza musim ketujuh bersiaran langsung setiap malam Ahad.

“Saya anggap mereka ini tak faham... mereka hanya melihat apa ditayangkan di hadapan skrin, tapi lupa di sebalik kamera ada beratus yang perlu menyara keluarga mereka, ” katanya kepada mStar.

Nabil ditemui semasa majlis Meet & Greet produk snek makanan ringan Dorylicious yang diadakan di Ibupejabat Dorylicious di Gombak, Selangor pada Sabtu.

Dalam majlis tersebut turut diperkenalkan pelawak Zizan Razak dan Achey sebagai rakan kongsi jenama tersebut.

Sementara itu, pengacara program Gegar Vaganza ini memberitahu dia kerap mendengar rintihan dan kebimbangan kru produksi yang berharap program TV ini diteruskan demi kelangsungan hidup mereka.

Cukuplah jadi keyboard warrior, kalau tak suka ada cara lain yang boleh mereka buat. Mungkin mereka pun lupa TV itu ada butang off!

NABIL AHMAD

PENGACARA & PELAWAK

“Sejujurnya ramai yang mengadu terutamanya pekerja belakang tabir yang mengharapkan kerja ini untuk terus menyara hidup.

“Bayangkanlah kalau program TV ini dihentikan dan diboikot, ke mana mereka nak pergi... kau sedap minta boikot, habis tu mereka belakang tabir ni macam mana?

“Banyak pihak akan terkait jika program ini dihentikan, penaja dah bayar, yang beli iklan pun dah keluar duit, dalam masa sama stokis dan ejen juga berharap dapat jual produk, ” ujarnya.



Empat rakan kongsi produk Dorylicious dari kiri; Zizan, Achey, Ajai dan Nabil.

Dalam pada itu, Nabil berkata netizen seharusnya memikirkan sesuatu isu yang lebih penting dan tidak hanya sekadar menjadi hero di media sosial.

“Kalau rasa tak suka kau seorang sahajalah yang boikot tak perlu ajak orang lain.. mengajak orang lain boikot sesuatu perkara tak kisahlah program TV atau makanan sekalipun adalah tindakan yang kurang baik.

“Cukuplah jadi keyboard warrior, kalau tak suka ada cara lain yang boleh mereka buat. Mungkin mereka pun lupa TV itu ada butang off!” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain