suria

Pernah berbadan besar, Aishah kecewa usahawan produk lantik duta perdaya pengguna - “Sebenarnya mereka kurus hasil pembedahan!”

Aishah berjaya kurang 33 kilogram selepas dua tahun jalani pembedahan pintasan usus.

PENYANYI Aishah kecewa dan terkilan dengan tindakan segelintir pengusaha produk pelangsingan badan yang sanggup menipu pelanggan demi keuntungan semata-mata.

Menurut Aishah atau nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin, 55, rata-rata duta produk yang dilantik berjaya mengurangkan berat badan hasil pembedahan pintasan usus (bariatric) dan bukannya kerana keberkesanan produk itu.

"Saya rasa sedih apabila terjadinya syarikat produk-produk kuruskan badan yang menggunakan duta yang sebenarnya telah kurus kerana pembedahan bariatric dan bukan kerana keberkesanan produk mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ini tak sengkek hingga kek pemberian TokTi pun takut dibawa ke pajak gadai” - Aishah dedah wajah individu cetus perbalahan, mahu ambil tindakan jika keterlaluan

"Allahuakbar, hentikan penipuan ini! Ini bukan tindakan yang betul. Pihak berkuasa pantaulah produk-produk begini.

"Kasihanlah mereka yang berjuang dengan berat badan dan ditipu dengan produk yang mendakwa penurunan berat badan duta mereka adalah kesan dari produk mereka tetapi sebenarnya hasil pembedahan. Ini satu penipuan," katanya menerusi Instagram.



Perkongsian Aishah di laman Instagram.

Sementara itu, Aishah turut mendedahkan selepas dua tahun menjalani pembedahan pintasan usus itu, dia berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 33 kilogram.

Mengakui bukan mudah untuk mendapatkan berat badan dan saiz ideal itu, penyanyi lagu Janji Manismu ini berkata dia masih lagi berusaha untuk mencapai impiannya itu.

"Beberapa hari ini saya banyak tertengok gambar-gambar lama semasa bertanding di Gegar Vaganza musim keempat dulu. Muka macam bulan mengambang, pipi pauh sebesar padang. It felt like a life time away!



Penampilan Aishah semasa menyertai GV4.

"Perjalanan penurunan berat badan satu cabaran, walaupun dengan menjalani pembedahan bariatic bersama Dr Mustafa... hanya orang yang pernah sampai tahap 'morbid obesity' saja tahu cabaran kehidupan apabila saiz badan berlebihan ini.

"Sakit kaki, penyakit-penyakit lain, kecewa dengan body shaming dan kualiti hidup yang agak terhad bila badan kita pada saiz itu. Setiap hari adalah satu 'struggle' cabaran.

"Dua tahun selepas pembedahan saya dapat turunkan 33 kilogram dan masih berusaha untuk sampai ke berat sasaran. The struggle is real, the pain is also so real!" ujarnya yang menjalani pembedahan itu pada awal tahun 2018.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain