suria

Konsert Inteam sempena ulang tahun ke-20 tetap diteruskan meski PKPB dilanjut - “Suhaimi Saad tak dapat sertai kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan”

Kumpulan Inteam akan tetap teruskan konsert walau PKPB dilanjutkan.

KUMPULAN Inteam akan tetap meneruskan Konsert Ulangtahun ke-20 Inteam pada 12 Disember ini meskipun kerajaan masih belum memutuskan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan atau ditamatkan pada 6 Disember depan.

Memikirkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku, ketua kumpulan Inteam iaitu Mohd. Syahril Abdul Khalid berkata, apa jua keputusan yang akan diumumkan kerajaan kelak, persembahan itu akan tetap diteruskan secara atas talian tanpa penonton.

“Kalau ikutkan perancangan kita akan adakan konsert itu di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor. Penonton yang lain boleh menyaksikan secara langsung atas talian.

ARTIKEL BERKAITAN: Lah Ahmad teruja dapat bekerjasama dengan Haqiem Rusli dan Aina Abdul - “Saya memang teringin nak berduet dengan artis baharu”

"Kami hanya menyediakan lebih kurang 100 tiket sahaja untuk hadir ke lokasi konsert dan akan mengikuti prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak kerajaan tetapi jika PKPB disambung lagi, kita akur untuk meneruskan konsert ini secara atas talian sepenuhnya.

"Sejujurnya kalau boleh harapannya nak ada penonton. Bukan apa perasaan membuat persembahan dengan disaksikan penonton itu lebih menarik. Apatah lagi jika mereka dapat menyanyi bersama. Apa pun, semuanya kena tunggu dan lihat, ” katanya kepada mStar.



Inteam bersama Lah Ahmad (dua dari kiri), dan Khai Bahar (dua dari kanan).

Selain Inteam, konsert istimewa itu nanti turut menampilkan legenda nasyid dan rock tahun 90-an iaitu Hijjaz dan Exists.

Selain itu, Khai Bahar, Ikhwan Fatanna, UNIC, Lah Ahmad dan artis baru di bawah naungan Inteam sendiri iaitu Zayne.

Dimaklumkan sehingga kini sudah hampir 500 tiket terjual dan Inteam menyasarkan untuk menjual sehingga 3000 tiket keseluruhannya.

Konsert bertemakan Terima Kasih itu mendapat sokongan dana melalui Geran Dana Kandungan Digital (DKD) RM300,000 yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).



Peminat tak sabar mahu saksikan persembahan Khai Bahar dan Lah Ahmad.

Ditanya adakah bekas anggota kumpulan iaitu Suhaimi Saad akan turut diundang dalam konsert tersebut, Syahril berkata mereka pada awalnya mengharapkan pembabitan penyanyi itu.

Namun terdapat beberapa faktor yang tidak memungkinkan penyertaan Suhaimi.

“Ramai yang tahu dengan keadaan Suhaimi sekarang dan sakit yang dialaminya telah menyebabkan pergerakannya terbatas.

“Apatah lagi dengan PKPB yang menyebabkan kita tidak boleh merentas negeri menyukarkan lagi untuk kita bawa Suhaimi bersama, ” ujarnya yang memaklumkan harga tiket serendah RM10.

Kumpulan Inteam dianggotai oleh Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman.

Manakala, Suhaimi pula meninggalkan kumpulan Inteam pada tahun 2005.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain